DAP Sabah membidas Warisan kerana menerima dua bekas Adunnya dan memberi peringatan bahawa parti itu tidak boleh dipercayai kerana bukan saja menerima pengkhianat, malah mendekati Umno secara terbuka.
“DAP Sabah mengalu-alukan rang undang-undang antilompat parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 April ini. Ini adalah satu pencapaian penting bagi demokrasi Malaysia kerana ia adalah usaha bipartisan untuk menamatkan 'katak politik' untuk selama-lamanya.
“Rakyat Sabah lebih memahami perkara ini berbanding orang lain kerana kami telah menghadapi banyak pengkhianatan daripada katak politik.
"Budaya lompat parti yang tidak beretika telah membawa kerosakan yang besar kepada Sabah sejak kejatuhan kerajaan PBS pada 1994 sehingga hari ini. Budaya ini mesti dihapuskan selama-lamanya demi masa depan Sabah dan Malaysia," kata DAP Sabah dalam kenyataan hari ini.
Kepimpinan parti itu menyatakan hasrat agar Adun Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin dan Adun Elopura Calvin Chong menjadi wakil rakyat terakhir yang meninggalkan parti itu.
Kedua-duanya keluar DAP pada Januari lalu.
Wong dan Chong menyerahkan borang keahlian Warisan dalam satu sidang media disertai presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu semalam.
“DAP Sabah berharap kedua-dua Chong dan Wong menjadi kumpulan terakhir katak politik sebelum pelaksanaan undang-undang antilompat parti.
“Semoga undang-undang antilompat parti mengembalikan keadilan kepada mandat rakyat dan keyakinan awam.
"Kita sudah biasa dengan katak politik memberi alasan untuk mewajarkan keputusan mereka. Sejak Langkah Sheraton, semua katak politik termasuk Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali mewajarkan tindakan mereka berpaling tadah untuk rakyat.
“Kesemuanya serupa, mereka kemudian akan mengkritik dan mengutuk parti mereka dahulu tetapi rakyat lebih cerdik,” kata DAP Sabah.
Pemimpin parti itu berkata mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menentukan masa depan politik mereka yang meninggalkan parti dan berharp mereka mengundi ahli politik yang menyokong Sabah yang demokratik, berprinsip dan bersih.
"Berkenaan Warisan, sejak mereka bertanding di kerusi PH di Johor, menerima katak politik DAP dan kini secara terbuka mencari kerjasama dengan Umno, ini telah mendedahkan agenda sebenar mereka bahawa mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada pembangkang," katanya.
DAP Sabah berkata bahawa pilihan raya Melaka dan Johor baru-baru ini menunjukkan bahawa hegemoni Umno telah kembali.
"Shafie pernah menjadi pemimpin tertinggi Umno dan sangat memahami akibat jika Umno kembali dengan hegemoninya. Jika kita terus berpecah-belah, hanya menunggu masa untuk Umno kembali berkuasa di Sabah," katanya lagi.