Menjadi mahasiswa sains politik bukanlah sesuatu yang popular dalam kalangan anak muda Malaysia. Kerap sahaja ditanya rakan dan ahli keluarga “Apa yang boleh kerja dengan lulusan sains politik? Nak jadi YB?”. Itu sahaja persepsi yang ada dalam kalangan orang awam.
Walhal, untuk jadi ahli politik, tidak perlu pun sijil tinggi. Ada yang lulus sekolah darjah tiga pun boleh jadi wakil rakyat. Mungkin, pandangan seperti ini juga menyebabkan rakyat tidak dapat bezakan bidang sains politik dan politik kepartian itu sendiri.
Sepanjang tiga tahun menjadi pelajar sains politik, saya begitu tertarik dengan kajian institusi parlimen. Pendedahan di dalam kuliah dan bahan bacaan diberikan pensyarah, buku dan artikel mengenai sistem parlimen di luar negara dan Malaysia, yang harganya amat mahal dan sukar ditemui di pasaran tempatan, telah membuka luas kefahaman saya tentang kepentingan institusi parlimen.
Sejujurnya, bahan bacaan mengenai demokrasi berparlimen di Malaysia agak terhad di kampus. Namun, hasil bertanya dengan pensyarah dan rakan-rakan, saya bertemu dengan buku bertajuk “Time Bomb in Malaysia” nukilan Lim Kit Siang.
Kebanyakan ahli akademik dan pemimpin politik melihat buku ini merupakan rujukan utama untuk berkenalan dengan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia sejak era 70-an. Bak kata mereka, buku ini memberi gambaran sebenar perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang ketika itu diremehkan oleh parti pemerintah dengan penguasaan majoriti dua pertiga.
“Time Bomb in Malaysia”
Buku yang diterbitkan sekitar tahun 1978 dan kini berusia 44 tahun, telah menceritakan ketidakpedulian jemaah menteri dalam menghormati semangat dan tradisi demokrasi berparlimen di Malaysia sehingga meminggirkan cadangan pembangkang untuk menambah baik dasar kerajaan mahupun menegur sistem tadbir urus negara.
Ia juga menunjukkan sisi kematangan wakil rakyat pembangkang, khasnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lim Kit Siang di dalam Dewan Rakyat dengan membawa idea pembaharuan dalam belanjawan negara, ekonomi, pendidikan, hak pekerja, dan dasar melawan rasuah serta salah guna kuasa. Semuanya demi memastikan rakyat Malaysia mendapat kehidupan yang lebih baik dan adil.
Idea dibawa Lim Kit Siang di dalam Dewan Rakyat melangkaui zaman. Bayangkan sahaja, pada tahun 1974, Lim Kit Siang sudah menggerakkan usaha pelaksanaan gaji minimum di Dewan Rakyat. Tujuannya bagi mengatasi masalah bebanan kos sara hidup pekerja ketika itu akibat peningkatan indeks harga barang (CPI) mencecah 19 peratus yang telah mengurangkan kuasa membeli rakyat.
Malangnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu telah menolak cadangan tersebut dan lebih cenderung sekiranya majikan dan pekerja berunding bersama tanpa campur tangan kerajaan. Namun, idea ini akhirnya terbukti penting selepas 38 tahun apabila kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan dasar gaji minimum pada tahun 2012.
Lim Kit Siang antara wakil rakyat terawal mencetuskan reformasi parlimen sejak awal 70-an. Pemikiran demokratik beliau telah mencorakkan usaha mematangkan sistem parlimen yang lebih terbuka dan benar-benar bertunjangkan suara rakyat. Kini, idea-idea reformasi dibawa Lim Kit Siang masih lagi relevan untuk dibincangkan semua lapisan masyarakat.
Sejujurnya, buku “Time Bomb in Malaysia” telah menjadi pencetus reformasi sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Saya mengenali pemikiran Lim Kit Siang terlebih dahulu sebelum melihat sosoknya yang bekerja keras untuk membina sebuah Malaysia yang adil dan sejahtera.
Perjalanan Lim Kit Siang penuh dengan ranjau. Pihak lawan lebih suka memomokkan dirinya dalam gelanggang politik sehingga termakan oleh pihak yang suka bermain sentimen kaum dan agama. Tetapi, apa yang jelas, lawannya juga kelihatan tempang dalam memberi idea pembaharuan sehingga hari ini.
Sentimen benci dan perkauman datang dan pergi, tetapi idea pembaharuan berteraskan prinsip perjuangan yang jitu tidak mungkin akan lenyap dengan mudah. Saya berharap idea demokrasi dan keadilan diperjuangkan Lim Kit Siang dapat menjadi pencetus kepada generasi baru melihat Malaysia berada di tahap yang lebih baik.
Bapa demokrasi berparlimen Malaysia
Malah, terdapat buku yang menceritakan perjalanan politik Lim Kit Siang yang boleh digarap generasi baharu untuk mendekati idea reformasi politik seperti “Lim Kit Siang Malaysian First” karya Kee Thuan Chye dan “Lim Kit Siang: Patriot, Leader, and Fighter” tulisan Liew Chin Tong yang lebih santai dan menarik.
Selepas Lim Kit Siang mengumumkan persaraan pada 20 Mac yang lalu, ramai kawan dan lawan tidak putus-putus memberi penghargaan kepada beliau sama ada secara terbuka atau di belakang tadbir. Ini adalah satu sisi politik matang Malaysia yang lebih mencintai pendamaian dan menghormati lawan atas prinsip demokrasi matang.
Adakah Lim Kit Siang perlu diberi gelaran Tun atau Datuk Seri atas jasanya? Saya fikir ini bukanlah penghargaan setimpal buat beliau.
Jika di parlimen Westminster di United Kingdom, terdapat gelaran “Father of the House” (Bapa parlimen) yang akan diberikan kepada ahli parlimen veteran yang berkhidmat paling lama di dalam House of Commons dan tidak pernah menjadi menteri kabinet. Ini adalah satu pengiktirafan kepada ahli parlimen veteran atas khidmatnya di parlimen dan rakyat di kawasannya.
Saya fikir, sudah sampai masanya Dewan Rakyat memberi gelaran “Father of the House” ini kepada Lim Kit Siang yang sudah berkhidmat kepada parlimen dan rakyat Malaysia hampir 40 tahun.
Penghargaan ini lebih berharga dengan perjuangan Lim Kit Siang yang begitu lantang mempertahankan sistem demokrasi berparlimen negara sejak awal penyertaannya dalam politik.
Pengiktirafan ini adalah satu manifestasi institusi parlimen Malaysia menghargai pemimpin rakyat sama ada di pihak pemerintah mahupun pembangkang.
FAKHRURRAZI RASHID Ialah Koordinator Penyelidik REFSA.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.