Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pekebun kecil Risda dapat manfaat jika ketum boleh dieksport'

Pekebun kecil getah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mungkin boleh mendapat manfaat sekiranya kerajaan persekutuan membenarkan eksport daun ketum ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata sekiranya eksport ketum menjadi sah di sisi undang-undang, tidak menjadi kesalahan bagi pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan dengan menanam tumbuhan itu.

"Kalau sudah sah dan boleh ada pendapatan, kenapa tidak? Kalau jual satu kilogram daun ketum boleh dapat pendapatan berpuluh-puluh ringgit dan dari segi undang-undang ia pula sah, jadi saya fikir tak menjadi kesalahan," katanya.

Mahdzir berkata demikian selepas menghadiri program Risda Prihatin Pekebun Kecil Makmur 2022 Padang Terap di Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

Dia diminta mengulas cadangan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang meminta kerajaan persekutuan membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum khususnya Thailand bagi tujuan perubatan.

Mahdzir berkata kerajaan Persekutuan perlu membuat keputusan mengenai status ketum memandangkan sudah banyak kajian telah dilakukan mengenai manfaat daunnya untuk perubatan.

"Tapi perkara itu biarkan Kementerian Kesihatan yang uruskan. Cumanya saya fikir sampai masanya nanti kita tengok bagaimana keputusan kerajaan," katanya.

Ketika ini terdapat kira-kira 552,000 pekebun kecil Risda di seluruh negara dengan keluasan tanaman getah 1.1 juta hektar.

Mengenai program Risda Prihatin itu, Mahdzir berkata seramai 330 pelajar sekolah melibatkan anak pekebun kecil getah di daerah ini menerima bantuan persekolahan yang keseluruhannya membabitkan peruntukan RM66,000.

"Risda membantu sedaya upaya mungkin dalam meringankan beban masyarakat pekebun kecil dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Ali Sabuddin Abd Samad.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS