Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta baru larang aktiviti merokok dibentang Julai ini

Akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005, akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen Julai ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata rang undang-undang (RUU) tersebut sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara.

"Saya rasa dalam tempoh satu ke dua minggu ini dah selesai dan boleh saya bentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Teknologi," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran MyCHAMPION Peringkat Kebangsaan, di Sepang hari ini.

Khairy pada 17 Februari lepas mengumumkan pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Terdahulu, semasa berucap Khairy berkata pengenalan akta baharu berkait dengan rokok ini merupakan satu daripada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperhebat kempen berhenti merokok dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya akan bawa satu undang-undang supaya ia adalah kesalahan undang-undang untuk menjual rokok kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.

"Memang penguatkuasaan akan menjadi cabaran. Tiada apa yang dapat menghentikan dia untuk minta orang dewasa beli rokok untuk dia atau orang yang lahir sebelum 2005.

"Tapi saya rasa ini adalah langkah yang pertama ke arah kita menamatkan rokok kepada satu generasi yang menjadi ‘generational end game’," katanya.

Khairy turut meminta sukarelawan MyCHAMPION untuk menegur orang awam yang merokok di kawasan larangan merokok.

"Saya punya penguat kuasa tidak cukup nak pergi ke setiap kedai makan nak bagi kompaun kepada yang masih degil, takkanlah kita nak buat operasi sampai bila-bila.

"Saya minta MyCHAMPION jadilah juara untuk kita tegur secara baik-baik supaya orang awam tidak lagi merokok di kawasan larangan merokok," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata MyCHAMPION merupakan pasukan sukarelawan di lapangan dan bertindak sebagai ejen untuk membawa perubahan minda dan tingkah laku kesihatan kepada komuniti dan secara tidak langsung membantu Malaysia masuk ke fasa peralihan ke endemik.

Beliau berkata pada tahun lepas, seramai 7,000 sukarelawan di bawah MyCHAMPION telah dilantik dan kementerian menyasarkan untuk melantik 10,000 lagi sukarelawan tahun ini.

Khairy dalam masa yang sama berkata KKM akan melancarkan kempen saringan kesihatan secara besar-besaran melibatkan 1.5 juta penduduk pada Julai ini dan perincian berkaitan perkara tersebut akan diumum tidak lama lagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS