story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Hadi, menteri mesti desak Taliban benarkan perempuan bersekolah'
Diterbitkan:  Mar 25, 2022 3:50 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini menggesa Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang supaya mendesak kerajaan sementara Taliban di Afghanistan untuk menarik balik keputusan mereka yang melarang golongan wanita mendapatkan pendidikan.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen DAP Kulai itu berkata tindakan Taliban berkenaan akan melumpuhkan pendidikan dan masa depan perempuan di Afghanistan.

“Kami kecewa apabila mendapat tahu bahawa pentadbiran Taliban di Afghanistan telah mengumumkan bahawa sekolah menengah perempuan akan ditutup. Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas ia dibuka semula buat kali pertama dalam hampir tujuh bulan.

“Tindakan Taliban ini bermakna pelajar perempuan di darjah enam dan ke atas tidak akan dapat ke sekolah.

"Sekolah untuk perempuan akan ditutup sehingga sebuah rancangan dibuat mengikut undang-undang Islam dan budaya Afghanistan," katanya.

Menurut Teo, Taliban telah pun melakukan kemusnahan terhadap kehidupan gadis dan wanita di Afghanistan apabila mereka mengharamkan pendidikan dan melarang kebanyakan golongan itu daripada bekerja sepanjang pemerintahannya dari 1996 hingga 2001.

Abdul Hadi bulan lalu berjumpa dengan Muhammad Suhail Shaheen, yang adalah wakil kerajaan Taliban Afghanistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan berjanji Malaysia akan membantu negara itu termasuk membangunkannya semula.

“Saifuddin dan Abdul Hadi mesti berpendirian tegas dalam pendidikan anak perempuan dan mendesak kerajaan Taliban supaya membenarkan gadis-gadis kembali ke sekolah.

"Sekiranya mereka memejam mata terhadap nasib gadis di Afghanistan, mereka juga sebenarnya menghantar isyarat tentang pendidikan gadis dan wanita di Malaysia," kata Teo.

Semalam, Saifuddin memberitahu bahawa Malaysia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sedang memantau keadaan di Afghanistan, dan menggesa pihak Taliban memberi tumpuan serius terhadap pembangunan pendidikan yang saksama untuk lelaki dan wanita di negara berkenaan.

Katanya, pendirian Malaysia mahu golongan wanita di Afghanistan diberi hak yang sama seperti golongan lelaki untuk belajar di sekolah dan universiti.

Media antarabangsa pada Rabu lalu, melaporkan Taliban menutup semula sekolah untuk remaja perempuan beberapa jam selepas ia dibuka, dan mengarahkan supaya golongan itu di negara tersebut untuk terus berada di rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS