Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saman untuk menakutkan-nakutkan saya bagi dapat keuntungan politik'

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan saman fitnah terhadapnya oleh seorang bekas penasihat Najib Razak dibuat untuk menakut-nakutkannya serta mendapat keuntungan politik.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata demikian dalam pembelaan dan tuntutan balas pembelaan terhadap Habibul Rahman Kadir.

Tahun lalu, Habibul memaklumkan dia akan memfailkan saman sivil terhadap Syed Saddiq berkaitan tuduhan konsiprasi untuk melemahkan Bersatu - yang kini sebahagian dalam kerajaan persekutuan.

Sebelum mengasaskan Muda, Syed Saddiq adalah antara ahli pengasas Bersatu yang kini dipimpin bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Peguam dari firma Jahaberdeen & Co yang mewakili Habibul memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 November tahun lalu.

Saman itu berhubung kenyataan Syed Saddiq dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2017.

Ketika itu dia mendakwa wujudnya konspirasi oleh seseorang di luar PH untuk melemahkan Bersatu dengan “mengancam atau merasuah” pemimpinnya.

Menurut pembelaan dan tuntutan balas pembelaan bertarikh 27 Disember 2021 yang dilihat Malaysiakini baru-baru ini, Syed Saddiq mendakwa saman fitnah itu tidak berasas dan satu salah guna proses mahkamah.

Ini kerana dia tidak pernah membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif ketika sidang media itu, katanya.

Dia juga mendakwa tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh dikaitkan dengan Habibul atau difahami oleh orang awam sebagai merujuk kepadanya.

Reputasi Habibul juga tidak terjejas ekoran kenyataan itu kerana saman tersebut tidak difailkan sebaik saja sidang medianya dibuat, katanya lagi.

‘Plaintif berniat jahat’

Membangkitkan yang tindakan itu hanya difailkan akhir tahun lalu, Syed Saddiq mendakwanya sebagai mala fide (berbinat jahat) dan memiliki niat tersembunyi yang tiada kaitan dengan sidang medianya pada 2017.

“Plaintif telah memfailkan tindakan ini secara niat jahat, sebagai cara untuk mendapatkan keuntungan politik untuk dirinya sendiri dan sebagai satu percubaan untuk menakut-nakutkan dan/atau mengancam dan/atau mengganggu defendan.

“Tindakan ini adalah tidak berasas dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Tindakan ini telah memberikan kesan negatif kepada defendan dan nama baiknya dan reputasinya di kalangan orang ramai.

“Akibat daripada tindakan ini, defendan telah mengalami kehilangan, kerugian dan ganti rugi terhadap nama baik dan reputasinya, masa dan kos,” kata Syed Saddiq.

Menerusi tuntutan balas itu, Syed Saddiq menuntut plaintif untuk membayar ganti rugi am, ganti rugi istimewa dan ganti rugi teladan.

‘Kenyataan boleh difahami sebagai merujuk saya’

Sementara itu, dalam jawapan kepada pembelaan, Habibul berkata kenyataan Syed Saddiq dalam sidang media itu boleh difahami orang awam sebagai merujuk kepada dirinya.

Dia berkata walaupun defendan menafikan ada laporan media yang menyebut namanya, Dia mendakwa keluarga dan kawannya sering bertanya tentang dakwaan itu kepadanya, malah sehingga akhir tahun lalu.

Dia juga menafikan dakwaan Syed Saddiq bahawa tindakan itu untuk menakut-nakutkannya dan mendapat keuntungan politik.

[Baca berita asal] 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS