Setiausaha agung DAP yang baru, Anthony Loke tidak kisah dengan dakwaan dia hanyalah menjadi boneka Lim Guan Eng, dan dilantik ke jawatan itu namun parti kekal di bawah kawalan Lim.
Loke sebaliknya memiliki sasaran untuk menetapkan hala tuju baru untuk DAP yang lebih kuat.
“Saya sedar tentang komen yang dakwa saya hanya boneka dan Lim kekal mengawal parti.
“Berkenaan komen ini, saya akan jalankan tugas saya, pastikan keputusan baik (dalam pilihan raya) dan buktikan kami (kepimpinan baru) dapat memimpin parti.
“Kami ada pasukan yang baik,” kaanya dalam wawancara bersama The Rocket semalam.
Menepis dakwaan itu, Loke berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP diundi menerusi sistem demokrasi dalam parti yang perlu dihormati.
“Perkara biasa untuk orang lain beri komen terutama selepas pemilihan parti. Tapi saya tak akan beri perhatian sangat terhadap label dan komen seumpama ini,” katanya lagi.
Dia yang menggantikan Lim mengiktiraf sumbangan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu sepanjang 18 tahun memimpin DAP sebagai setiausaha agung dan dia berhasrat untuk mengangkat lagi kedudukan parti itu.
“Hal paling penting untuk kepimpinan baru kami adalah untuk mencari jalan baru. Kami perlu ada hala tuju dan cara sendiri untuk menguatkan parti,” katanya.
Lim kini merupakan pengerusi DAP.
Matlamat PRU15
Menurut Loke, barisan kepimpinan baru yang kebanyakannya diisi pemimpin generasi ketiga perlu membuktikan kebolehan mereka dan saat paling baik untuk melakukannya adalah pada PRU15.
“Matlamat pertama kami adalah memastikan kita dapat kekalkan 42 kerusi Parlimen, atau menang lebih banyak. Ini sasaran minimum kami.
“Situasi PRU akan datang pastinya berbeza, begitu juga cabaran dan suasana politik. Ia tak sama dengan PRU14 dan mengekalkan perwakilan parti dalam Parlimen adalah cabaran besar.
“Kami berharap kepimpinan baru dapat bekerjasama untuk menggunakan kekuatan semua orang dalam mendepani pilihan raya. Sebab itu saya tekankan kepimpinan saya perlu inklusif dan berdasarkan pasukan ketika sidang media pertama saya selepas dilantik,” katanya lagi.
‘Lim Kit Siang jiwa parti’
Berhubung pelantikan Lim Kit Siang sebagai mentor parti setelah dia mengumumkan persaraannya, Loke menjelaskan pelantikan itu sebagai tanda penghormatan kepada tokoh veteran itu.
“Dia adalah jiwa parti. Dia umumkan persaraan dan tak sertai pemilihan CEC. Dia tiada hasrat untuk bertanding dalam PRU akan datang, tetapi pengalaman dan pandangannya tetap penting untuk kami.
“Kami akan minta pandangannya berhubung keputusan penting parti. Saya tak fikir ia akan menjejaskan parti,” katanya sambil menambah ia tidak bermakna Lim akan terlibat dalam setiap hal ehwal DAP.
Nilai yang melangkaui kaum
Menjawab soalan berkenaan rancangannya untuk menarik sokongan lebih ramai orang Melayu, ahli parlimen Seremban itu berkata ia adalah isu struktural dan tidak akan selesai hanya dengan pelantikan setiausaha agung baru.
Namun dia menekankan yang perjuangan DAP melangkaui isu kaum dan ia perlu dijelaskan kepada orang ramai.
“Bagaimana kita nak tarik lebih ramai pengundi Melayu? Kita mesti berikan pemahaman kepada mereka berkenaan hala tuju dan matlamat perjuangan kami.
“Selama ini, DAP ditohmah sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam. Kita perlu tukar tanggapan mereka, dan tentunya ini memerlukan penjelasan dan usaha yang banyak,” katanya lagi.
Loke berkata falsafah dan prinsip asas DAP adalah masyarakat yang saksama.
“Kita harap semua orang hidup dalam masyarakat yang harmoni dan adil. Kerajaan kita perlu mentadbir dengan baik dalam lawan rasuah. Kita inginkan kerajaan berintegriti dan memberi khidmat dengan baik. Ini adalah nilai-nilai asas kita.
“Nilai-nilai ini melangkaui kaum. Pengundi Cina pastinya menyokong nilai ini, dan dengan cara sama, saya fikir pengundi Melayu juga setuju dengan nilai ini,” katanya lagi.
Dia menegaskan bahawa amat penting untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa nilai-nilai yang dipegang DAP tidak mengancam mereka.
“Nilai kita adalah demi kebaikan masyarakat dan negara. Ia untuk mewujudkan negara yang lebih berintegriti dan terus membantu masyarakat,” katanya lagi.