Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sosma: Tak timbul soal tak percaya PM, kata Loke

PARLIMEN | Isu ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak timbul berikutan penolakan usul pelanjutan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma di Dewan Rakyat semalam.

Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) berkata penolakan usul itu juga tidak berkaitan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan PH memandangkan usul itu tidak dirunding terlebih dahulu dengan blok pembangkang.

“Isu Sosma tidak dirunding bersama kita. Kita tak setuju dengan usul (lanjutan Sosma) itu. Namun, adakah bermaksud usul itu ditolak maka Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) hilang kepercayaan...jawapannya tidak.

“Sekarang kalau ada siapa-siapa pertikai dan ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawa satu usul tidak percaya ke Dewan Rakyat ini, kita akan berkecuali. Jadi soal ketidakpercayaan tidak timbul sama sekali,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata blok pembangkang hanya mengetahui mengenai usul lanjutan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 itu semalam.

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam tidak diluluskan, setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju, manakala 49 tidak hadir.

Mengenai kenyataan bahawa PH telah melanggar MoU itu kerana menolak usul, Loke berkata: “Bagi kita (pembangkang), kita pegang pada prinsip bahawa ada perkara dasar yang kita tak setuju dalam Sosma ini, (jadi) kita nyatakan kita tak setuju.

“Namun ada perkara kita setuju (iaitu) kita nak pastikan kestabilan kerajaan sampai satu tempoh kita nak adakan PRU,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkata MoU antara kerajaan dan PH itu tidak akan tamat secara automatik sekiranya satu usul tidak disokong.

“Saya berpandangan berkaitan Perkara 4.1 MoU di mana ia tidak akan tamat secara automatik sekiranya sesuatu usul tidak memenuhi Perkara 3.1 hingga 3.3 Lampiran 1. Ia masih terbuka untuk rundingan bersama kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan.

“Ini bermakna kalau ada percanggahan dibuat, contohnya apa yang semalam (isu Sosma), belum secara automatik MoU itu akan tamat,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS