Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes penyakit tibi di Malaysia menurun pada 2021
Diterbitkan:  Mar 24, 2022 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Jumlah kes penyakit tuberkulosis atau tibi yang dilaporkan di Malaysia pada 2021 adalah 21,727 kes iaitu menurun 8.1 peratus berbanding 23,644 kes tahun sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Jumlah kematian akibat tibi pada 2021 pula adalah 2,288 iaitu menurun sebanyak 32 kematian atau 1.4 peratus berbanding tahun 2020, katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Tibi Sedunia 2022.

Tibi atau batuk kering adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Tanda-tanda penyakit tibi adalah batuk yang berpanjangan iaitu melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah.

Khairy berkata pesakit tibi boleh sembuh jika mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan dan berisiko mendapat semula jangkitan tibi dan drug resistant TB iaitu kerintangan terhadap antibiotik anti-tibi jika mematuhi rawatan yang ditetapkan.

Rawatan bagi penyakit tibi adalah gabungan empat jenis antibiotik iaitu Ethambutol, Isoniazid, Rifampicin dan Pyrazinamide (EHRZ) pada fasa intensif selama dua bulan dan diikuti dua jenis antibiotik iaitu Isoniazid dan Rifampicin (HR) pada fasa sambungan selama empat bulan.

"Aspek pematuhan kepada rawatan adalah amat penting bagi memastikan pesakit tibi sembuh sepenuhnya," kata Khairy yang juga menggesa salah faham berkaitan penyakit tibi dan stigma terhadap pesakit tibi dihentikan.

Khairy berkata komitmen semua pihak amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia bebas tibi menjelang tahun 2035.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS