Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul k'jaan lulus jika Najib, Zahid hadir semalam - Fahmi

Umno meletakkan kegagalan kerajaan meluluskan rang undang-undang mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau Sosma - kepada pembangkang dengan mendakwa Pakatan Harapan (PH) melanggar perjanjian mereka dengan Putrajaya.

Bagaimanapun ahli parlimen pembangkang menyanggah hujah tersebut dengan menegaskan kegagalan tersebut berlaku apabila beberapa pemimpin Umno sendiri tidak hadir untuk mengundi semalam.

Menurut ahli parlimen pembangkang, antara yang tidak ada di Dewan Rakyat semalam ialah presiden Umno sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, serta bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata turut tidak hadir semasa pengundian berlangsung ialah Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa ada di dalam dewan semasa sidang berlangsung namun undinya tidak dikira kerana lewat selepas waktu yang ditetapkan.

Usul berkenaan gagal mendapat sokongan majoriti apabila undi pihak kerajaan - sebanyak 84 - diatasi undi menolak sebanyak 86.

Menunjukkan kelemahan kerajaan

Kata Fahmi turut tiada dalam sesi pengundian semalam ialah Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

"Mereka dalam kalangan 31 ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi semalam.

"Daripada mereka jaja cerita kononnya PH gagalkan MOU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.

"Kalau dua tiga (orang) daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus," katanya.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Fahmi berkata, "sangat luar biasa" apabila ada 31 ahli parlimen kerajaan 'hilang' semasa usul mereka perlu diundi.

"Saya tak tahu sama ada mereka akan cuba sabotaj juga usul meminda Perlembagaan Persekutuan hari ini," tambahnya.

Sementara itu Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kegagalan usul semalam adalah salah kerajaan sepenuhnya.

"Kenapa mereka tak beri arahan supaya ahli kerajaan kekal (hadir dalam dewan) untuk mengundi?" katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kegagalan usul semalam disengajakan sebagai langkah sabotaj, Salahuddin berkata, ia adalah perkara kedua.

Apa yang penting kata ahli parlimen Pulai tersebut ia menunjukkan kelemahan kerajaan.

"Kenapa jumlah yang tak hadir itu ramai?" katanya lagi.

Salahuddin yang juga menganggotai jawatankuasa pemandu MOU menegaskan PH hanya menjalankan tugas mereka, dan pendirian terhadap penahanan tanpa bicara adalah konsisten.

Katanya rang undang-undang Sosma yang ingin dilanjutkan itu tidak dibawa ke perbincangan dengan PH seperti yang dinyatakan dalam MOU dan mereka hanya akan berkompromi jika akta itu dipinda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS