Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 untuk bacaan kali kedua ditangguhkan ke persidangan yang akan datang.

Penangguhan itu dikemukakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon hari ini.

Usul itu merupakan salah satu daripada sembilan usul yang ditangguhkan ke persidangan dijadualkan bermula dari 18 Julai sehingga 4 Ogos ini.

M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) bangkit mencelah meminta pencerahan berkenaan alasan usul itu mahu ditangguhkan.

Kulasegaran: “(Usul) IPCC telah ditunda banyak kali, macam tidak ada hasrat oleh kerajaan untuk membawa pembaharuan (dalam pasukan) polis. Orang ramai tak faham kenapa kerap kali parlimen bersidang akta ini ditunda. Apa dia punya asas, saya nak tahu.

Mohd Rashid: Tadi telah dimaklumkan oleh timbalan menteri (RUU tersebut) akan dibawa ke mesyuarat yang akan datang.

Kulasegaran: Terima kasih. Tapi itulah yang dikatakan sebelum itu juga, dan sebelum tu juga, dan sebelum tu jugak.

Untuk rekod, RUU IPCC dibentangkan untuk bacaan kali pertama 26 Ogos 2020 dan dijadualkan untuk bacaan kali kedua sehari kemudian.

Bagaimanapun bacaan kali kedua RUU terbabit terus ditangguhkan sehingga ke hari ini.

RUU IPCC adalah bagi menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dibawa pentadbiran Pakatan Harapan.

Pengkritik menyifatkan IPCC lebih lemah berbanding IPCMC, dengan membangkitkan salah satu perbezaan utamanya adalah badan dicadangkan kerajaan sekarang tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap anggota polis yang membuat salah laku.

Sebaliknya, menurut RUU IPCC, tindakan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis atau badan lain yang berkaitan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS