Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thailand jangka buka semua sempadan darat dengan Malaysia pada 1 Mei

Dalam usaha menggalakkan industri pelancongan terutama di wilayah selatan, Thailand bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuka semula semua pintu sempadan darat dengan Malaysia menjelang 1 Mei.

Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata kementerian akan mencadangkan kepada Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) untuk membuka semula lebih banyak pintu masuk antara kedua-dua negara.

“Kami merancang membuka secara beransur-ansur pusat pemeriksaan lain di Narathiwat, Yala dan Satun yang menghubungkan Malaysia untuk menggalakkan pelancongan di wilayah Selatan. Kami jangkakan semua pusat pemeriksaan Thailand-Malaysia dibuka semula pada 1 Mei.

"Kementerian Pelancongan dan Sukan akan berkoordinasi dengan Kementerian Luar untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai langkah-langkah yang akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan sempadan bagi membendung penularan Covid-19," katanya dipetik portal Inggeris, The Nation hari ini.

Pada masa ini, Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Songkhla dibuka untuk pelancong namun pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di Bukit Kayu Hitam di Kedah dijangka dibuka 1 April.

Selain itu, mulai 1 April, Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai dijadual menerima kedatangan pelancong antarabangsa.

Rakyat Malaysia menjadi kumpulan terbesar pelancong ke negara itu sebelum pandemik COVID-19. Pada 2019, Thailand mencatatkan hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pelancong Malaysia.

Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Thailand pada 25 Februari baru-baru ini, Malaysia dan Thailand pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan perjalanan bebas kuarantin udara, darat dan laut menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim Test & Go.

Ismail Sabri berkata kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan mengenai prosedur bersama pembukaan semula sempadan.

Malaysia akan membuka semula sempadannya mulai 1 April kerana negara itu akan memasuki fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS