DUN TERENGGANU | Kerajaan Terengganu kekal dengan keputusan untuk tidak membenarkan penjawat awam di negeri itu memohon Bantuan I-Fitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira golongan penjawat awam juga bakal menerima insentif bonus menjelang Aidilfitri akan datang.
"Ia selaras dengan pengumuman Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi Belanjawan 2022 yang dibentangkan dalam persidangan dewan undangan negeri (DUN) pada Nov tahun lepas," katanya semasa menjawab soalan Bazlan Abdul Rahman (BN-Batu Rakit) dan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (BN-Kuala Besut) dalam sesi penggulungan sidang DUN di Kuala Terengganu hari ini.
Katanya menurut data Profil Rakyat Terengganu (PRT20), kerajaan negeri dijangka membelanjakan sekitar RM56.4 juta bagi agihan Bantuan I-Fitri tahun ini.
"Untuk makluman, dalam tempoh 24 jam selepas sistem dibuka untuk permohonan Bantuan I-Fitri, hampir 13,000 permohonan telah kerajaan terima untuk dipertimbangkan," katanya.
Sementara itu, mengenai program Bulan Madu Kedua kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Hanafiah berkata ia akan diteruskan pada tahun ini selepas tertangguh beberapa tahun akibat pandemik Covid-19.
"Suka saya maklumkan bahawa program ini adalah kerjasama melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah dan Lembaga Pertumbuhan Penduduk Keluarga dan Negara dengan matlamat melahirkan keluarga yang bahagia dan berkualiti di samping mengurangkan kadar penceraian di awal usia perkahwinan," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan membuat kajian lebih terperinci mengenai cadangan penubuhan Baitul Iman sebagai rumah kebajikan khas kepada para pesalah wanita.
"Baitul Iman ini akan berperanan sebagai pusat pemulihan akhlak dan akidah kepada para wanita yang bermasalah.
"Ia persis Pusat Pemurnian Akidah yang juga dipanggil Baitul Iman kendalian Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Ulu Yam, Selangor," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh, berkata isu hakisan di Sungai Jertih, Besut disenaraikan dalam sistem MyProjek dan dijangka dibentangkan kepada unit perancang nkonomi pada Jun depan.
"Bagi mengatasi masalah hakisan di Sungai Jertih itu, satu cadangan projek pemuliharaan sungai di Bandar Jertih, Besut telah dimohon melalui Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan-3 (RP-3) dengan kos sebanyak RM35 juta.
"Skop kerja yang terlibat adalah membina struktur perlindungan tebing Sungai Besut, menaik taraf Sungai Jertih dan membina denai sungai," katanya menjawab isu dibangkitkan Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih).
Menjawab isu dibangkitkan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai projek pemuliharaan Muara Sungai Dungun pula, Mamad berkata projek dengan kos RM250 juta itu akan menyelesaikan masalah hakisan di kawasan berkenaan dan tender telah diiklankan, manakala taklimat tapak dibuat pada esok.
- Bernama