Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno, Bersatu 'sepakat' anggap MOU k'jaan-PH terbatal
Diterbitkan:  Mar 23, 2022 7:05 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Beberapa tokoh Umno kini menggunakan kegagalan usul kerajaan melepasi undian di Dewan Rakyat sebagai desakan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang baru.

Kata mereka, Pakatan Harapan terbukti gagal mematuhi perjanjian persefahaman (MOU) yang dimeterai dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob pada tahun lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, mendakwa apa yang berlaku petang tadi menunjukkan ketidakstabilan kerajaan dan memberi gambaran buruk kepada Putrajaya.

Razlan merujuk usul penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang ditolak Dewan Rakyat hari ini selepas gagal mendapat undi yang mencukupi melalui undian belah bahagi.

"Kegagalan menteri dalam negeri (untuk) meluluskan subseksyen Sosma ini menunjukkan dengan jelas ia (kerajaan) sudah tidak stabil dan memberi gambaran buruk kepada kerajaan di parlimen.

"Ternyata perjanjian di antara kerajaan dan pembangkang sudah tidak boleh diguna pakai dan ia terbatal. Masa terbaik melakukan pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Razlan Rafii

Mengulas lanjut, Razlan juga berkata amat jarang sekali negara ini melihat akta yang dibawa kerajaan ke dalam Dewan Rakyat gagal melepasi undian.

Katanya, ada banyak cubaan serang hendap dilakukan pembangkang semasa sesi parlimen berlangsung sebelum ini, namun tetap berjaya mendapat sokongan yang mencukupi.

"Belanjawan 2020 juga kelihatan setiap kali usul mahu diluluskan, setiap kali itulah kerajaan bertungkus-lumus mendapatkan kehadiran sehingga pernah ahli parlimen memakai PPE (set pakaian pelindung diri) untuk mengundi," katanya.

Bebas gantung MOU

Veteran Umno, Shahrir Samad, pula menyindir Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, ekoran kegagalan berkenaan.

"Pandai-pandai katak melompat, boleh tersilap mengukur langkah. Hanya ada 84, berbalas 86. Kalah.

"Sudah ada MOU. (Cuma) Tak berunding (dengan PH) saja lebih dulu. Nasib kerajaan hidup atas ihsan seteru.

"PRN Johor, PN tinggal tiga kerusi. Dalam Dewan Rakyat, tak kering gusi," sinis Shahrir.

Sementara itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata dengan tindakan pembangkang tidak menyokong usul pihak kerajaan bermakna MOU antara PH dengan kerajaan kini terbatal.

Katanya, berdasarkan Perkara 3.3(b) MOU tersebut menyatakan PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

Annuar Musa

Justeru, katanya, mereka berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan.

"Namun, hari ini, PH telah melanggar MOU tersebut dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh menteri KDN, [...] pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut.

"Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Ismail Sabri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MOU tersebut.

Ahli Parlimen Ketereh itu menambah, tindakan PH hari ini juga memudahkan lagi tanggungjawab perdana menteri - dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong - untuk melaksanakan mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ia juga membolehkan kita segerakan PRU ke-15 selari dengan keputusan PAU tempoh hari," tambahnya.

Kalau Najib, Zahid hadir

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula menyifatkan tindakan PH hari ini sebagai "biadab" dan mencabuli semangat MOU kerajaan - PH.

"Kalau ini yang kalian mahu, batalkan saja MOU!" tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula kegagalan kerajaan dalam membawa usul terbabit tidak akan memaksa Hamzah mahu pun Ismail Sabri meletakkan jawatan atau kerajaan akan meminta Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun, kata Hassan ia tidak menghalang sekiranya Hamzah untuk mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan.

"Mungkin secara kebetulan, mungkin tidak dirancang, tiga orang penting di pihak kerajaan tidak hadir di Parlimen semasa pengundian, iaitu Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi; dan Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.

"Jika Najib, Zahid dan Muhyiddin hadir di Dewan Rakyat petang tadi dan mengundi menyokong usul tersebut sudah pasti kerajaan tidak mengalami kekalahan, walaupun tipis tetapi amat memalukan selepas menang bergaya dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor," sinisnya.

Hassan Karim

Katanya, kerajaan amat panik dengan kegagalan "tidak disangka-sangka" di Dewan Rakyat petang tadi.

Kata Hassan, ini kerana Dewan Rakyat sepatutnya tidak akan ditangguhkan sehingga selesai dibentangkan dan diputuskan usul terbabit.

Bagaimanapun, Dewan Rakyat ditangguhkan serta merta sebaik sahaja kerajaan gagal mendapatkan sokongan bagi menlanjutkan penguatkuasaan subseksyen Sosma.

Terdahulu usul dibawa Hamzah itu gagal mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat selepas hanya 84 ahli parlimen yang menyokong manakala 86 tidak bersetuju. Seramai 50 wakil rakyat dilaporkan tidak hadir.

Ini bermakna, subseksyen berkenaan - yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret - tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dalam satu kenyataan menegaskan bahawa perkembangan itu tidak bermaksud PH melanggar MOU mereka dengan kerajaan.

Jelasnya, ini kerana usul berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan MOU dan tiada rundingan mengenai perkara itu sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS