Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Malaysia akan mengetahui pada 22 Jun sama ada rayuannya untuk menafikan kerakyatan automatik kepada anak-anak oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warga asing yang dilahirkan di luar negara berjaya atau ditolak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Kamaludin Md Said menetapkan tarikh keputusan rayuan itu terhadap ibu warga Malaysia yang anak mereka diberi hak kerakyatan yang sama seperti yang diberikan kepada bapa warga Malaysia.

Hakim lain yang bersidang sama adalah hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi dan S Nantha Balan. Mereka menetapkan tarikh penghakiman susulan perbicaraan dalam talian hari ini selepas mendengar hujah dari kedua-dua pihak.

"Kami perlukan lebih banyak masa untuk membuat keputusan kerana ini bukan kes yang mudah tetapi membabitkan kepentingan awam, kerana ia akan menjejaskan Perlembagaan Persekutuan (undang-undang tertinggi Malaysia yang mengandungi peruntukan mengenai hak pemberian kewarganegaraan)," kata Kamaludin selepas prosiding hari ini.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan, manakala peguam Gurdial Singh Nijar mewakili enam ibu warga Malaysia serta kumpulan hak asasi Family Frontiers.

Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept tahun lalu, yang memutuskan, antara lain, bahawa wanita Malaysia (yang berkahwin dengan lelaki warga asing) mempunyai hak yang sama seperti lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing untuk memberikan kewarganegaraan melalui operasi undang-undang ke atas anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Hakim Akhtar Tahir dalam penghakimannya, berkata ini diselaras dengan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Artikel 14 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1) (b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, semua udang-undang berkenaan melarang diskriminasi berdasarkan jantina dalam hal pemberian kewarganegaraan.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya sebelum ini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, sementara menunggu penyelesaian rayuannya.

Adalah diilaporkan bahawa susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, sekumpulan ibu warga Malaysia - yang anak-anak mereka sebelum ini dinafikan kewarganegaraan kerana dilahirkan di luar negara dengan bapa warga asing - akhirnya berjaya mendaftarkan anak mereka sebagai warganegara melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS