Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hutang 1MDB: Penjelasan Najib hanya untuk kelirukan speaker, kata Pua
Diterbitkan:  Mar 23, 2022 1:54 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Najib Razak (BN-Pekan) telah memberi penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Harun bahawa 1MDB memang membuat bayaran terhadap hutang pokok pada 2017 dan 2018.

Beka perdana menteri itu mendakwa bayaran dibuat menerusi wang yang diperolehi daripada penjualan aset 1MDB seperti Edra Energy dan Tun Razak Exchange.

Penjelasan itu terkandung dalam surat Najib kepada Azhar, yang menimbang untuk membenarkan usul agar Najib dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana memberitahu Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu yang tiada satu sen pun dana awam digunakan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Penjelasan Najib kepada Azhar itu didedahkan Tony Pua (PH-Damansara) yang diminta Azhar agar memberi maklum balas kepada kesemua empat penjelasan yang dihantar Najib.

Bekas setiausaha politik menteri kewangan itu menjelaskan rekod menunjukkan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM7.47 bilion pada 2017 dan RM1.65 bilion pada 2018 dilakukan oleh Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Perolehan daripada Edra Energy dan Tun Razak Exchange telah pun digunakan oleh 1MDB sebelum 2017, kata Pua.

Katanya, Najib memberitahu Azhar bahawa perbahasannya pada 2 Mac lalu hanya merujuk kepada pemerintahan PH.

Pua berpandangan penjelasan Najib itu hanyalah “afterthought” (sesuatu yang difikirkan kemudian) memandangkan tiada siapa pun yang mendengar atau membaca teks perbahasan Najib akan mencapai kesimpulan yang sama.

‘Najib terus kelirukan speaker’

Pua berkata lagi, sudah tiga minggu berlalu sejak Najib membuat kenyataan itu dan dia tidak pernah membuat pembetulan, sama ada di Dewan Rakyat atau kepada orang awam.

“Secara jelas, YB Pekan telah menonjolkan niatnya untuk mengelirukan Dewan Rakyat. Malah, YB Pekan telah menggandakan kesalahannya dengan cubaan untuk mengelirukan Tan Sri (Azhar) dalam penjelasannya kepada Tan Sri,” kata Pua dalam surat bertarikh semalam kepada Azhar.

Pada dua hari lalu, Azhar memberitahu Dewan Rakyat yang dia masih menimbang usul Pua terhadap Najib. 

Dia berkata memerlukan masa untuk meneliti penjelasan bertulis yang “tebal” daripada Najib.

Katanya lagi, dia juga akan meneliti maklum balas Pua sebelum membuat keputusan.

Kenyataan Najib pada 2 Mac lalu bertentangan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan juga bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bahawa dana awam perlu digunakan untuk menjelaskan hutang besar 1MDB.

Zafrul berkata kerajaan masih kekurangan RM17 bilion untuk menepati obligasi hutang 1MDB antara 2023 hingga 2039.

 

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS