WAWANCARA l Bekas perdana menteri Najib Razak kini secara berkesan menjadi pembangkang “de facto” selepas dia "merampas" keupayaan pembangkang untuk "berhubung dengan rakyat setiap hari" di laman media sosialnya.
Tetapi Rafizi Ramli - yang baru-baru ini mengumumkan kembali aktif dalam arena politik - berkata dia bersedia mengambil semula inisiatif itu daripada Najib untuk memperkasakan rayuan Pakatan Harapan (PH) kepada pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Saya rasa apa yang telah hilang (daripada PH) dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini ialah keupayaan untuk berhubungan setiap hari dengan rakyat. Lebih padah lagi, keupayaan itu telah dirampas oleh Najib.
“Dia ambil pendekatan populis untuk menyuarakan isu harian yang biasa kita lakukan semasa kita jadi pembangkang. Jadi, secara berkesan, Najib adalah pembangkang de facto kepada kerajaan,” kata Rafizi.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini di pejabatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Rafizi berkata dia selalu bangkit pada jam 4 pagi untuk bersiap sedia untuk sidang media atau mengeluarkan kenyataan akhbar setiap hari. Ini bagi menjalin hubungan dengan rakyat.
Rafizi, yang akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti PKR nanti, berkata, bahawa tugas sedemikian bukannya mudah dan memerlukan banyak penyelidikan dan tindakan susulan.
Sebagai contoh, katanya, pada tahun 2010, dia mahu mengubah sikap orang Melayu terhadap rasuah dengan membuktikan kepada mereka bahawa rasuah adalah buruk dan akan memberi kesan negatif kepada masyarakat Melayu.
Untuk itu, Rafizi berkata dia memberi tumpuan untuk mengketengahkan isu-isu berkaitan institusi Melayu seperti Tabung Haji, Mara dan Felda untuk membuktikan bahawa institusi-institusi ini telah diruntuhkan oleh pemerintahan Umno sejak 50 tahun lalu.
“Meletakkan naratif dan berhubungan dengan rakyat bukan sekadar menciap di Twitter atau ucapan di Parlimen.
“Kita benar-benar perlu berhubungan dengan mereka dan ia adalah kerja rumit yang memakan masa serta memerlukan konsistensi dan itulah yang Najib lakukan sekarang.
"Inisiatif itu perlu diambil balik daripada Najib," kata Rafizi.
Dia berkata penyokong PH sudah terbiasa dengan maklumat terkini dan pencerahan tentang apa yang berlaku dalam negara ketika itu dan ini adalah sesuatu yang perlu diusahakan semula oleh PH.
“Tidak cukup sekadar mengatakan kami adalah PH dan kami lebih baik daripada Umno.
“Mereka (rakyat) sebenarnya mahu tahu, jika kamu kata harga sepatutnya turun, bagaimana sebenarnya kamu bercadang untuk melakukannya? Apa yang salah dengan proses sekarang? Apabila kamu kata kenaikan disebabkan oleh AP, siapa sebenarnya yang dapat AP?
"Mereka mahu melihat kamu berbuat demikian sehingga membuahkan hasil, berisiko kepada diri sendiri, dan ini memerlukan banyak disiplin, dan saya fikir naratif itu telah hilang," kata bekas ahli parlimen Pandan itu.