Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH Sabah sokong hadkan tempoh jawatan ketua menteri dua penggal

Kesemua tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah daripada Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan Kabinet negeri itu, mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Pengarah Komunikasi PH Sabah Ewon Benedick berkata beliau bersama beberapa Adun PH negeri diketuai Pengerusi PH Sabah Christina Liew, hari ini mengadakan kunjungan ke atas Ketua Menteri Hajiji Noor di pejabatnya, bagi menyatakan sokongan tersebut.

“Hari ini persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan bahawa Kabinet negeri telah bersetuju secara prinsipnya, berkenaan cadangan mengehadkan tempoh lantikan ketua menteri kepada dua penggal sahaja.

“Pindaan perlembagaan negeri akan dibentangkan dalam sidang DUN akan datang jika mendapat sokongan daripada Adun lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata syor mengehadkan pelantikan itu merupakan antara agenda pembaharuan Sabah yang dikemukakan PH kepada Hajiji, pada akhir tahun lepas.

Pada persidangan DUN Sabah hari ini, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir ketika menjawab soalan lisan Ewon berhubung cadangan itu, berkata Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS