Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan Pulau Pinang memberi komitmen untuk membantu menaik taraf ladang babi di negeri itu kepada sistem yang moden.

“Kami akan membantu pengusaha ladang babi dalam apa jua cara yang kami boleh untuk menaik taraf ladang mereka kepada sistem moden kerana penternakan moden adalah hala tuju kerajaan negeri untuk memastikan kelestariannya,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chow mengumumkan komitmen itu selepas perjumpaan dengan Pertubuhan Penternak Khinzir Negeri Pulau Pinang. 

Chow Kon Yeow

Gambar pertemuan itu dimuat naik di media sosialnya semalam.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh Pertubuhan Penternak Khinzir Negeri Pulau Pinang tentang pengusaha ladang babi yang gagal menaik taraf ladang mereka.

Justeru, katanya, kerajaan negeri telah menugaskan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar Phee Boon Poh dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Soon Lip Chee untuk melawat ladang babi terlibat dan mencari jalan untuk membetulkan masalah dihadapi.

Pada 9 Mei 2021, dilaporkan terdapat aduan bau busuk di Sungai Sembilang, Pulau Pinang akibat aktiviti penternakan babi di Pantai Acheh.

Pada 15 Oktober tahun sebelumnya isu sama pernah timbul melibatkan dakwaan pembuangan najis haiwan daripada 26 ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor. 

Kes itu kemudian berpanjangan ke mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS