Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian Rina dibidas kerana tak haramkan perkahwinan bawah umur

PARLIMEN | Lapan ahli parlimen wanita PKR dan seorang senator PKR membidas keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tidak mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Ahli parlimen itu termasuk Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan), yang pernah menerajui kementerian itu ketika menjadi timbalan perdana menteri, berkata langkah sedia ada bertentangan dengan usaha sebelum ini untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dengan membuat pindaan undang-undang untuk menaikkan umur minimum kepada 18 tahun.

“Pelan Strategi Kebangsaan yang dimulakan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail menyokong tindakan konkrit meminda undang-undang bagi menangani isu perkahwinan kanak-kanak.

“Pelan itu mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat persekutuan dan negeri,” kata mereka.

Usaha untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun telah dimulakan di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada Januari 2020 oleh kerajaan persekutuan PH ketika itu.

Ahli parlimen berkenaan menyatakan bahawa usaha itu meliputi pelbagai aspek perundangan termasuk undang-undang syariah, undang-undang perkahwinan dan undang-undang keluarga Islam di bawah bidang kuasa negeri, melalui draf pindaan kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984, bertujuan untuk menaikkan umur perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

“Pendirian Menteri Rina Harun telah menggagalkan usaha sebelum ini, terutamanya dalam wabak yang memangsakan lebih ramai gadis muda daripada keluarga berpendapatan rendah berisiko terperangkap dalam perkahwinan bawah umur.

“Statistik bagi tahun 2020 menunjukkan 445 pelajar sekolah didapati tidak menamatkan pengajian kerana berkahwin, membabitkan 441 perempuan dan 34 lelaki,” katanya.

Mereka juga menggesa kerajaan meneruskan perbincangan dengan tujuh negeri yang masih belum bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan, serta lima negeri lain yang telah bersetuju tetapi masih belum meluluskan pindaan itu.

Setakat ini hanya Selangor yang diperintah PH, dengan sokongan sultannya, telah meminda undang-undang syariah negeri itu untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Selain Wan Azizah, turut disenaraikan dalam kenyataan bersama itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pau Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh (Kuantan), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Natrah Ismail (Sekijang), Nor Azrina Surip (Merbok), Rusnah Aluai (Tangga Batu), June Leow (Hulu Selangor) dan senator Fadhlina Sidek.

Mereka menjawab jawapan bertulis Rina yang dikeluarkan kepada Nurul Izzah, yang menyatakan kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Rina semalam berkata ini kerana punca perkahwinan bawah umur mesti ditangani melangkaui pindaan undang-undang, termasuk melalui advokasi, pendidikan, kesihatan dan faktor sosio-ekonomi lain.

Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkan had umur minimum perkahwinan bagi gadis Islam iaitu 16 tahun selepas mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan had umur 18 tahun.

Dia juga berkata kerajaan telah mengumpul maklum balas daripada kerajaan negeri berhubung cadangan ini kerana ini adalah perkara di bawah bidang kuasa negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS