Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu puji PM kekal berprinsip walaupun ditekan Umno
Diterbitkan:  Mar 22, 2022 1:19 PM
Dikemaskini: 5:19 AM

Seorang pemimpin Bersatu hari ini memuji Perdana Menteri, Ismail Sabri yang terus kekal berinsip dalam memimpin negara meskipun berdepan tekanan supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman turut menyelar tindakan biadab perwakilan Umno melaungkan “bubar Parlimen” pada persidangan parti itu minggu lalu.

"Biarpun Ismail Sabri dari parti yang berlainan dari saya, namun kebiadapan sesetengah warga Umno yang menjerit ‘bubar parlimen' ke arahnya, video tindakan peesiden Umno menolak beliau ke tepi untuk beri laluan kepada 'National Embarrassment' serta menyisihkan perdana menteri kita itu dari karpet merah ketika di WTC menunjukkan sikap kurang ajar dan angkuh kluster mahkamah.

Muhammad Faiz Na'aman, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu

"Untuk berlaku adil kita perlu memberi pujian kepada perdana menteri kerana beliau masih tegas berprinsip tidak mencampuri urusan mahkamah dan institusi kehakiman sepertimana prinsip yang dipegang oleh pendahulunya, perdana menteri kelapan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Mungkin kerana prinsip itu jualah Ismail sedang diasak dari segenap penjuru oleh beberapa pemimpin Umno yang sudah tidak sabar untuk meruntuhkan kerajaan sendiri lagi sekali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Perhimpunan Agong Umno (PAU) 2021 yang berakhir Sabtu lalu, Umno menggesa perdana menteri supaya segera membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU ke-15.

Dalam ucapan penggulungannya, Ismail memaklumkan isu berkenaan akan dibincang oleh "top five" dan akan turut dibawa ke Kabinet sebelum memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong. “Top five” merujuk kepada presiden, timbakan dan tiga naib presiden Umno.

PAU 2021 telah meluluskan dua usul supaya PRU ke-15 disegerakan serta menagguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum.

Mengulas lanjut Muhammad Faiz berkata adalah wajar setiap pemegang taruh dalam urusan politik negara ini termasuk pihak pembangkang yang membuat perjanjian persefahaman (MOU) dengan dengan kerajaan untuk turut dirujuk apabila membicarakan soal mahu bubar parlimen.

"Begitu juga dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini seperti Perikatan Nasional (PN) dan GPS, semua itu wajar dihormati dan diambil kira pendapatnya.

"Di samping itu, rakyat juga wajar mendukung segala keputusan baik dari kerajaan Malaysia pimpinan Ismail, contohnya seperti pemerkasaan bahasa kebangsaan agar ia diguna pakai oleh wakil-wakil kerajaan ketika berucap di pentas antarabangsa serta mewajibkan pelajar-pelajar asing yang belajar di negara ini untuk menguasainya.

"Begitu juga soal kedaulatan negeri-negeri dalam negara ini, ia merupakan harga mati yang tidak patut dirunding lagi! Syabas kepada kerajaan Malaysia kerana tegas menafikan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS