mk-logo
Berita
JAS siasat pencemaran bau busuk di Simpang Pulai - MB Perak
Diterbitkan:  Mar 21, 2022 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sedang melakukan siasatan berhubung pencemaran bau dikatakan berpunca daripada bahan kimia di sekitar Simpang Pulai dekat Ipoh.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin telah memaklumkan mengenai perkara itu menerusi mesyuarat exco kerajaan negeri baru-baru ini.

"Saya difahamkan JAS Perak sedang menyiasat dan kita menunggu hasil siasatan dilakukan kerana kita tidak pasti punca bau itu datangnya daripada mana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 Pertubuhan Peladang Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai Tan Kar Hing memuat naik status di laman Facebooknya mengenai berlakunya bau busuk dipercayai bahan kimia di sekitar kawasan Bandar Seri Botani, Simpang Pulai, Taman Muda dan Kampung Sengat.

Melalui status berkenaan, Tan berkata beliau yang melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan mendakwa kesan bau itu memedihkan mata dan membuatkan dirinya mengalami sesak nafas sehingga terpaksa membuka tingkap kereta sepanjang melalui kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah JAS Rosli Zul ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menghantar beberapa orang pegawai untuk melakukan siasatan mengenai perkara berkenaan.

"Jika kita melihat menerusi status yang dimuat naik di Facebook itu pun tiada menyatakan secara spesifik kawasan terlibat kerana Adun itu hanya menyebut bau itu berlaku sepanjang jalan.

"Kita hendak mencari sesuatu yang begitu banyak punca kerana terdapat kawasan perindustrian di sekitar Simpang Pulai hingga Lahat, jadi kita perlu menjalankan kajian lebih mendalam bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak mengambil ringan perkara berkenaan dan tetap menjalankan siasatan terhadap punca bau itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS