Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS gesa tindakan terhadap majikan tak benar pekerja bertudung

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) meminta supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak membenarkan pekerja wanita untuk bertudung.

Ketika membahaskan pindaan Akta Kerja 1995 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, Ketua Pemuda PAS itu memberi contoh hak pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang tidak dibenarkan bertudung ketika bertugas.

“Dalam hak pekerja sebagai contoh, saya menyambut baik bagaimana kerajaan telahpun menafikan ataupun mengurangkan diskriminasi terhadap wanita yang mengandung, dan ini adalah satu perkara yang baik.

“Tapi bagaimana pula hak untuk wanita yang bertudung? Di mana saya menyebut secara jelas iaitu dalam syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sebagai contoh, pramugari-pramugari tidak dibenarkan untuk bertudung.

“Kita tak nak wajibkan bertudung (untuk mereka) tetapi kita nak berikan hak kepada wanita yang muslimah, yang muslim untuk mereka dibenarkan bertudung.

“Kalau ada lagi syarikat mahupun majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka bertudung, ia jelas melanggar akta dan kerajaan perlu untuk bertindak,” katanya.

Taklimat gangguan seksual

Pada masa sama, dia turut menyentuh isu gangguan seksual dengan meminta supaya kerajaan menggalakkan majikan sentiasa memberikan taklimat kepada pekerja berhubung isu berkenaan di tempat kerja secara berkala.

Dia turut mengaitkan adegan panas dalam satu drama tempatan yang menjadi kontroversi baru-baru ini, yang menurutnya boleh mempengaruhi gangguan seksual di tempat kerja.

“Taklimat gangguan seksual ini juga harus diberikan secara berkala supaya pekerja tahu apa yang termasuk dalam gangguan seksual ini.

“Sebab ini merupakan satu masalah dalam masyarakat kita, contohnya.

“Sebab isu filem soft porn yang heboh diperkatakan pada hari ini, walaupun tak berkaitan tapi saya mengambil kesempatan supaya kita dapat mengambil pengajaran ataupun iktibar daripada menteri agama berkenaan isu gangguan seksual yang boleh timbul daripada filem soft porn yang ditayangkan dalam negara ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS