Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beku akaun bekas suami culas nafkah - Mujahid saran pinda akta
Diterbitkan:  Mar 21, 2022 11:47 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof berharap pengumuman perdana menteri berkenaan pembekuan akaun suami yang culas membayar nafkah isteri yang diceraikan akan disusuli tindakan di Parlimen bagi mengiktiraf keputusan Mahkamah Syariah.

Tanpa tindakan, kata bekas menteri agama era PH itu, pengumuman berkenaan hanya retorik bagi mengaut sokongan politik.

Ini kerana katanya, keputusan Mahkamah Syariah seolah-olah tidak diiktiraf oleh undang-undang di bawah Kementerian Kewangan, sedangkan semua kes cerai membabitkan umat Islam ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

“Setakat ini keputusan Mahkamah Syariah di bawah akta Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai keputusan yang terikat di bawah akta. Keputusan Mahkamah Syariah, seolah tidak diiktiraf bagi tindakan kuatkuasa.

“Ini sangat menyedihkan kerana ia menjejaskan hak para isteri yang diceraikan tanpa pembelaan terhadap keperluan nafkah mereka. Semua kes cerai melibatkan umat Islam ditentukan keputusan penghakimannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara,” kata Mujahid.

Justeru katanya, perdana menteri perlu menunjukkan komitmen untuk membuat pindaan di parlimen supaya akta bawah Kementerian Kewangan mengiktiraf keputusan Mahkamah Syariah.

“Tanpa pindaan saya anggap PM hanya beretorik semasa PAU untuk sokongan politik,” katanya di Facebook.

Kata Mujahid, semasa dia menjadi menteri, salah satu usahanya dalam memartabatkan Mahkamah Syariah adalah memastikan tindakan susulan keputusan Mahkamah Syariah terhadap isteri yang diceraikan dapat dikuatkuasakan.

Hal itu, katanya, termasuklah membekukan akaun suami yang culas termasuk tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami.

Tambahnya, pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di bawah menteri agama telah dipertanggungjawabkan untuk berunding dan menyelaras dengan bahagian undang-undang Bank Negara dan Kementerian Kewangan supaya dibuat pindaan bawah Kementerian Kewangan.

Ia bagi menjamin keputusan Mahkamah Syariah dapat diktiraf secara berakta untuk tindakan membekukan akaun suami yang gagal memenuhi nafkah yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

“Beliau (perdana menteri) hanya perlu rujuk kepada JKSM yang telah pun memulakan usaha ini semasa dasar Islam Rahmatan Lil Alamin diperkenalkan pada tahun 2018,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 yang melabuhkan tirai kelmarin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan membekukan akaun lelaki yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dijaga.

Tambah naib presiden Umno itu, inisiatif itu juga memastikan bayaran terus nafkah kepada bekas isteri akan dilakukan dari bank bekas suami.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS