Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sesi persekolahan bermula hari ini, SOP maksimum dilaksanakan
Diterbitkan:  Mar 21, 2022 10:57 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Sesi persekolahan 2022/2023 yang bermula hari ini semestinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ibu bapa, malah anak-anak juga teruja untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal selain dapat bertemu rakan-rakan sekolah.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan sekolah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat kepada ibu bapa dan murid antaranya penjarakan fizikal dan penggunaan cecair sanitasi untuk membersihkan tangan sebelum memasuki kelas bagi mengekang penularan Covid-19.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4 di sini, ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak hingga ke pintu pagar seperti SOP yang ditetapkan pihak sekolah.

Hany Zainal, 35, ketika ditemui selepas menghantar anaknya, Shakur Zeyn Shahrir, 7, berkata beliau berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan di sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan murid.

Di MELAKA, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin memaklumkan 149,378 murid sekolah rendah dan menengah melibatkan 315 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 84,619 orang adalah murid sekolah rendah manakala 64,759 lagi merupakan pelajar sekolah menengah.

"Pada hari ini, 238 sekolah rendah dan 77 sekolah menengah di Melaka memulakan sesi persekolahan dan sekolah yang mempunyai lebih 600 murid akan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah.

"Sistem penggiliran ini akan melibatkan murid Tahun Tiga, Empat dan Lima bagi memastikan SOP dilaksanakan secara berkesan," katanya kepada pemberita di luar pekarangan SK Paya Rumput.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan Bernama di SK (P) Sultan Ibrahim mendapati murid hadir seawal 6.30 pagi dan mereka diberikan pelitup muka percuma serta disambut maskot Mickey Mouse sekali gus menggamit suasana ceria pada hari pertama persekolahan di sekolah itu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd Hyffny Isa berkata tiada ibu bapa yang memaklumkan kerisauan mereka, malah semua guru di sekolah itu sudah mengambil vaksin dan dos penggalak Covid-19.

Di SELANGOR, seorang ibu turut berkongsi kegembiraan anaknya, Wan Alesha Medina Wan Fathi Amir, murid Tahun Satu SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam untuk memulakan sesi persekolahan.

“Dia memang seorang sangat peramah dan suka berkawan, saya tidak risau dan percaya Medina (Wan Alesha Medina) boleh membiasakan dirinya,” kata Nurul Aida Shahrol, 37.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS