Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rafizi tanding timbalan presiden PKR boleh bawa perpecahan'
Diterbitkan:  Mar 20, 2022 1:47 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

Meskipun mengalu-alukan Rafizi Ramli kembali aktif politik, namun ia boleh mengundang perpecahan dalam PKR sekiranya bekas ahli parlimen Pandan itu merancang bertanding jawatan nombor dua parti itu, dakwa seorang pemimpin akar umbi AMK.

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Damansara Syed Badli Syah Syed Osman pada satu kenyataan sebaliknya menggesa Rafizi sebaliknya mempertahankan jawatan naib presidennya.

"Meneliti hujah beliau dalam rancangan bual bicara "Terpaling Terus Terang", saya mendapati terdapat kebenaran yang perlu diakui dari sudut kelemahan prestasi Keadilan dalam menghadapi PRU15.

"Namun demikian saya juga khuatir jika beliau hanya kembali untuk merebut posisi sebagai timbalan presiden, fraksi beliau akan membawa perpecahan ke dalam parti kerana beliau sudah lama menghilangkan diri.

"Tiada keperluan untuk beliau bertanding jawatan yang lebih tinggi sedangkan beliau telah diberikan tugas sebagai naib presiden sebelum ini namun beliau memilih untuk mengabaikannya.

"Justeru itu saya ingin menyarankan kepada saudara Rafizi untuk merendahkan sedikit ego demi penyatuan parti dengan mempertahankan jawatan naib presiden dan seterusnya memikul tugas sebagai pengarah pilihan raya," kata Syed Badli hari ini.

Kenyataan Syed Badli ini susulan meningkatkan 'kegelisahan' dalam kalangan anggota PKR mengenai pengumuman Rafizi kembali aktif dalam politik, termasuk hasrat bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.

Rafizi dijangka berdepan sekurang-kurangnya dua lagi pesaing, termasuk Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan bekas pembantu presiden parti Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Mubarak.

Syed Badli turut menyatakan keyakinannya bahawa Saifuddin lebih sesuai memegang jawatan timbalan presiden kerana pengalaman dan kesetiaannya kepada parti.

Bagaimanapun, bekas naib ketua AMK pusat itu bersedia untuk menyokong Rafizi juga jika Rafizi memilih untuk mempertahankan jawatan naib presidennya.

Untuk rekod, ketika pemilihan PKR pada 2018, Rafizi bertanding untuk merebut jawatan timbalan presiden daripada Azmin Ali tetapi tewas.

Dia kemudian dilantik sebagai naib presiden PKR sebelum mengumumkan "tidak akan kembali kepada duni politik" pada Disember 2019.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS