Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Frim optimis lebarkan kepakaran ke peringkat antarabangsa

Selaras dengan penubuhannya yang telah melangkaui usia melebihi 90 tahun, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) terus optimis memberikan input terbaik menerusi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara mampan di negara ini.

Ketua Pengarahnya Dr Ismail Parlan berkata Frim akan terus mengembangkan lagi kepakaran institut itu ke peringkat antarabangsa terutama ke negara-negara tropika dengan menawarkan perkhidmatan bersesuaian untuk dilaksanakan secara kerjasama dengan negara berkenaan.

"Negara-negara tropika mempunyai iklim yang hampir sama dengan Malaysia iaitu hutan tropika terutama di Asia Tenggara. Bidang kepakaran yang ditawarkan Frim antaranya bioteknologi hutan, pemprosesan herba, pengujian perabot dan pengiraan stok karbon hutan. Rancangan Frim tahun ini termasuk jemputan latihan di kampus Frim dalam bidang-bidang berkenaan kepada agensi luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di Kepong baru-baru ini bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022.

"Frim adalah pengerusi Persatuan Institusi Penyelidikan Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) bagi penggal 2021-2024. Kami akan menggunakan platform APAFRI bagi mempromosi perkhidmatan Frim di peringkat antarabangsa. Dengan adanya program seperti ini, kita dapat membantu negara-negara tropika yang masih memerlukan perkhidmatan dan kepakaran yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata perkongsian kepakaran oleh Frim itu sekali gus membantu meningkatkan imej baik negara di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa tahun ini, Ismail berkata sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan di Hutan Simpan Tanum, Kuala Lipis, Pahang anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 Mac ini.

Frim pula akan mengadakan program penanaman 51 batang pokok pelbagai spesies bersempena tahun ke-51 Hari Hutan Antarabangsa.

Tarikh 21 Mac diisytihar sebagai Hari Perhutan Sedunia yang kemudiannya ditukar kepada Hari Hutan Antarabangsa oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ismail berkata masyarakat harus bersama-sama menghayati peranan hutan meliputi tiga aspek iaitu pembangunan ekonomi negara seperti industri perkayuan, kestabilan alam sekitar, pengawalan perubahan iklim, bekalan air serta perkembangan sosioekonomi dan budaya.

Pulih semula hutan terosot

"Negara kita komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah negara adalah berhutan dan mempunyai litupan pokok. Ketika ini kita memiliki lebih 18.3 juta hektar atau kira-kira 55.3 peratus dari keluasan tanah negara yang merupakan kawasan hutan. Ini menunjukkan komitmen untuk mengekalkan kawasan hutan negara seperti yang termaktub dalam Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) yang dilancarkan pada 21 Mac tahun lepas," katanya.

Sektor perhutanan amat penting kepada pembangunan ekonomi negara. Industri perkayuan, contohnya telah menyediakan lebih 300,000 peluang pekerjaan kepada penduduk dan menyumbang kepada nilai ekspot negara lebih RM22 bilion.

Bertemakan ‘Forests and sustainable production and consumption’ atau ‘Hutan dan pengusahasilan dan penggunaan secara mampan’, Frim juga komited dalam pelbagai usaha kajian bagi membantu dan menambah baik kaedah pengurusan hutan secara berkekalan antaranya penggunaan sumber hutan yang optimum seperti penggunaan sumber kayu yang efisien untuk perabot.

"Kajian dilaksanakan Frim dalam memastikan aspek perhutanan dijaga dengan baik adalah menerusi pemulihan semula kawasan hutan terosot dengan spesies-spesies dan teknik yang sesuai.

"Selain itu, melaksanakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang diketuai oleh KeTSA melalui JPSM dan melibatkan Frim, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhutanan Sabah, Yayasan Hijau Malaysia serta agensi-agensi lain.

“Dalam kempen ini, Frim mengetuai satu daripada jawatankuasa kempen, iaitu Jawatankuasa Teknikal Penanaman Pokok," katanya dan menambah sejak pelancaran kempen tersebut pada 5 Jan 2021, sebanyak 27.7 juta pokok telah ditanam oleh pelbagai pihak di seluruh negara.

Khidmat ekosistem hutan asli

Mengulas kajian penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan untuk memastikan pengusahasilan dan penggunaan hasil hutan secara mampan dan berkekalan, Ismail menjelaskan kajian Frim adalah berkaitan kaedah pengusahasilan, pemprosesan dan penggunaan optimum sumber bahan mentah.

"Antara penyelidikan Frim adalah membangunkan teknologi dan menyediakan penyelesaian untuk menyokong dan memastikan pengurusan mampan sumber dan perkhidmatan ekosistem hutan asli, bandar dan tujuan rekreasi ataupun ekopelancongan.

"Selain itu, Frim turut membangunkan teknologi dan produk berasaskan sumber kepelbagaian biologi hutan dan ladang herba untuk industri berkaitan melalui pendekatan bioteknologi," katanya.

Frim turut menjalankan penyelidikan sosioekonomi dan analisis strategik mengenai isu-isu perhutanan dan alam sekitar untuk pembangunan negara.

"Frim juga menyedia dan membangunkan pengetahuan saintifik yang penting bagi melindungi biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem di Malaysia untuk pengurusan bijak dan penggunaan yang mampan,” katanya.

Menyentuh harapan Frim, Ismail menzahirkan hasrat agar masyarakat dapat menjaga hutan dengan mengelak daripada melakukan perbuatan vandalisme ketika memasuki kawasan hutan lipur dan melakukan pencerobohan kawasan hutan atau aktiviti di kawasan hutan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

"Nikmati peranan hutan dengan berhemah dan hargainya. Industri ekopelancongan semakin penting dalam aspek sosioekonomi dan alam sekitar.

"Masyarakat harus peka dan sedar mengenai kepentingan perhutanan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar," katanya dan menambah banyak faedah dapat diperoleh menerusi hasil hutan dan Frim juga tersenarai dalam 10 destinasi tempat perlu dilawati di Selangor.

Mengenai pembukaan semula sempadan negara 1 April ini, Frim menjangkakan pertambahan pengunjung ke destinasi itu seperti sebelum pandemik Covid-19 yang pernah merekodkan lebih satu juta pengunjung setahun termasuk pelawat dari luar antaranya Jepun, Australia dan negara-negara Eropah, namun pihak Frim telah mengehadkan pengunjung kepada kira-kira 500,000 orang setahun bagi memastikan persekitarannya terjaga dengan baik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS