Paling Popular
Terkini

PAU 2021 | Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan ketiga-tiga pemimpin tertinggi Umno berjaya mengangkat hasrat perwakilan parti dalam soal penentuan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang dizahirkan sepanjang perhimpunan kali ini.

Mengulas ucapan penggulungan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden yang juga perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, Najib berkata mereka mengangkat hasrat perwakilan agar kepentingan parti dijulang mengatasi segala kepentingan lain.

“Ucapan presiden, timbalan presiden dan perdana menteri mengambil iktibar daripada suasana PAU 2021 dan kehendak daripada perwakilan.

“Pertama, mereka berkehendakkan supaya ada konsensus, meletakkan kepentingan parti mendahului segala kepentingan dalam menentukan bilakah tarikh PRU ke-15 yang paling tepat, paling sesuai sekali diadakan.

“Kedua, waima apa pun, kita mesti bersatu dan kita mesti berpadu kerana itulah prasyarat Umno untuk berjaya dalam PRU akan datang,” katanya yang juga bekas presiden Umno.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penangguhan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Dia turut mengulas pengumuman positif oleh Ismail Sabri dan menganggap ia menunjukkan bahawa Umno pasti membela nasib rakyat sekiranya diberikan kuasa.

“Umno ini kalau ada kuasa memang bukan tujuan nak kuasa semata-mata, bukan kemaruk kuasa semata-mata tapi kita nak membela dan menentukan kesejahteraan rakyat dan negara

“Dengan pengumuman tambahan yang dibuat perdana menteri hari ini jelas Umno mampu memimpin negara ke arah satu masa depan yang jauh lebih baik,” tambahnya.

Antara lain, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula Mei, mewajibkan pelajar asing belajar bahasa Melayu, akta bagi membekukan akaun suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri seperti diputuskan mahkamah, dan sebagainya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS