PAU 2021 | Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, membayangkan kegiatan 'membeli' sokongan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti masih terus berlaku ketika ini.
Berucap semasa penggulungan perhimpunan hari ini, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu membangkitkan kegiatan mengedar "sampul surat putih" kepada perwakilan.
Malah katanya kegiatan tersebut turut berlaku di bahagian yang diketuainya, Rembau.
Pemberian sampul putih adalah sinonim dengan kegiatan mendapatkan sokongan sebagai tukaran kepada wang yang diberikan.
Untuk rekod Umno pernah digegarkan dengan pendedahan kegiatan politik wang yang menyaksikan ada antara pemimpinnya dikenakan tindakan seperti digantung keahlian parti.
"Balik lepas ini hentikanlah kerja edar envelope (sampul surat) putih ni. Saya cakap terang-terang, saya timbalan presiden... saya jaga parti.
"Sampaikan perwakilan saya dari Rembau pun dapat envelope putih. Nasib baik orang Rembau jujur dia pulangkan kat saya balik.
"Jangan macam tu, takkanlah bahagian datuk lembaga parti ini pun korang (kamu) nak hentam juga.. ke tersasul (tersilap langkah)," katanya.
Mohamad berkata Umno perlu menolak budaya sedemikian kerana ia tidak membantu memperkukuhkan parti sebaliknya menangi hati perwakilan dengan cara yang betul.
Katanya ahli Umno adalah orang yang "pandai" menilai dan akan memberikan sokongan kepada pihak yang betul.
Katanya, jika bahagian diketuai timbalan presiden parti pun berani 'dilanggar' pihak berkenaan, bagaimana dengan kawasan yang dipimpin oleh orang lain.
"Bahagian saya pun nak dilanggarnya begitu saja, bahagian timbalan presiden..." katanya kesal.