Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tak buang prinsip demi pikat orang Melayu - Guan Eng

WAWANCARA | Lebih kurang sedekad lalu, berlaku perdebatan dalam DAP berhubung identiti parti itu melibatkan dua kumpulan yang saling label-melabel antara satu sama lain sebagai Hua Sha (chauvinis Cina) dan Ying Sha (chauvinis Inggeris) atau "akar umbi" dan "elit".

Digelar sebagai debat "Lautan Biru melawan Lautan Merah", ia berlangsung sejak pilihan raya umum ke-13 apabila DAP cuba menggugurkan imej Cinanya dengan tujuan untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Kumpulan Hua Sha berhujah untuk tidak membuang prinsip DAP dan mencairkan kecinaannya semata-mata mendapatkan undi Melayu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengkritik pandangan ini dengan menegaskan dia lebih suka kepada “Malaysian-centric dan Malaysian first”.

Tumpuan kepada satu-satu kumpulan etnik, katanya, akan melanggar seruan DAP untuk mewujudkan “Malaysian Malaysia”.

“Anda tidak boleh mengehadkan diri anda kepada satu teras sahaja. Jika anda berbuat demikian, maka saya fikir anda akhirnya menjadi sangat berfikiran sempit, sangat ekstremis, dan terpinggir.

"Pilihan raya tidak pernah dimenangi secara ekstrem, ia sentiasa dimenangi melalui kesederhanaan," kata Lim kepada Malaysiakini.

Bekas menteri kewangan itu juga menafikan bahawa DAP telah menggadaikan prinsipnya atau keluar daripada landasannya untuk menarik pengundi Melayu.

“Apakah prinsip yang telah kita tinggalkan? Jika anda kata demikian kerana kita memperkenalkan calon Melayu atau India, maka saya tidak setuju.

“Saya tidak fikir kita menjaga hati (pengundi Melayu). Seperti yang saya katakan, anda mesti sentiasa bekerja pada prinsip asas terlebih dahulu. Kita bukan menyedapkan hati sesiapa.

“Kita telah berjuang secara konsisten menentang kuasa yang tidak demokratik. Saya masuk penjara dua kali,” tambahnya merujuk kepada pemenjaraannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 dan Akta Hasutan pada 1998.

Lim menggesa pengkritiknya mengutamakan kesinambungan DAP di mana lebih ramai orang akan menyertai perjuangan bagi menyokong prinsip parti itu.

“Jika kebetulan mereka bukan orang Cina, kenapa tidak? Jika mereka mampu bekerja, mengapa tidak?” soalnya.

Mengenai dakwaan bahawa orang Melayu yang menyertai DAP mendaki tangga politik lebih cepat berbanding yang lain, Lim merujuk kepada kritikan yang sering ditimbulkan bahawa parti itu tidak mempunyai cukup pemimpin Melayu.

“Di satu pihak, anda kata mereka naik lebih cepat, tapi sebaliknya, anda kata anda hanya dapat seorang atau dua pemimpin Melayu - jadi, anda mesti mencari keseimbangan. Pada akhirnya, kita perlu biarkan ahli membuat keputusan.

'Mereka mempunyai kebijaksanaan untuk memilih apa yang terbaik untuk parti kerana ini bukan dipilih oleh kita (kepimpinan) tetapi oleh ahli yang melihat keperluan untuk mendekati, berkembang (dan) menjadi sebahagian daripada norma politik, di mana kita adalah sebahagian arus perdana (dan) bukan sebahagian daripada pelampau,” tambahnya.

Pemimpin muda Melayu DAP yang muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuklah Adun Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari, Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh), dan Edry Faizal Eddy Yusof ( Dusun Tua), serta setiausaha politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dan setiausaha publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim.

Pada masa ini, hanya seorang daripada 42 ahli parlimen parti itu berbangsa Melayu iaitu Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah.

'Biar ahli buat keputusan'

Melepaskan tugasnya selama 18 tahun sebagai setiausaha agung, Malaysiakini berbicara dengan Lim mengenai kepimpinan baru itu, hasratnya untuk kekal dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) dan implikasi 'dinasti Lim' terhadap penggantinya.

Berikut adalah petikan daripada wawancara tersebut:

Adakah anda mempunyai apa-apa mesej untuk kepimpinan baru, terutamanya setiausaha agung yang baru?

Lim: Kita masih akan amalkan kepimpinan kolektif yang sama. Kita akan tetap beri sokongan yang sama. Pada akhirnya, tidak seorang pun boleh melakukan segala-galanya. Apa yang lebih penting ialah kepimpinan harus dapat mengikat semua orang bersama-sama untuk memastikan bahawa mereka menemui tujuan yang sama dalam parti, bahawa anda mempunyai matlamat yang sama, dan mereka merasakan semangat kekitaan.

Apabila anda katakan 42 ahli parlimen kekal dalam parti ini.. tiada seorang pun yang melompat parti. Terdapat banyak usaha di sebaliknya. Kami menghubungi setiap orang.

Apabila terdapat sebarang isu di kawasan mereka, kami mengambil inisiatif untuk mencuba dan membantu mereka - sama ada dari segi bantuan makanan atau bantuan lain.

Ahli Parlimen merasakan mereka sebagai telinga kepimpinan. Mereka rapat dengan pemimpin.

Adakah anda akan menetapkan sasaran atau matlamat untuk dicapai oleh setiausaha agung yang baru?

Lim: Tidak. Itu terpulang kepada parti untuk membuat keputusan. Ia bukan hak saya untuk membuat keputusan.

Anda meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung, tetapi anda masih bertanding untuk jawatan CEC. Ada pihak yang merasakan anda perlu keluar sepenuhnya daripada pilihan raya. Apa komen?

Lim: Saya akan biarkan ahli parti buat keputusan.

Terdapat juga kebimbangan lain, khususnya yang dibangkitkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yew. Dia berkata anda tidak sepatutnya berada dalam kepimpinan CEC.

Dia juga kata bahawa anda mungkin akan membayangi setiausaha agung yang baru jika anda menjadi pengerusi ?

Lim: Semua orang berhak mendapat pandangan mereka. Seperti yang saya katakan, biarkan masa menunjukkan sama ada kebimbangan ini tulen atau tidak.

Adakah anda menyasarkan jawatan itu?

Lim: Saya kata, kita (akan) biarkan ahli membuat keputusan. Saya rasa kita biarkan pimpinan parti yang membuat keputusan.

Adakah ada sebarang keutamaan untuk setiausaha agung yang baru?

Lim: Kita biarkan ahli membuat keputusan.

Terdapat kebimbangan bahawa dinasti Lim masih akan membayangi setiausaha agung yang baru.

Lim: Tidak. Kami pasti mahu setiap setiausaha agung yang berjaya. Kami mahu setiap pemimpin berjaya. Seperti yang saya katakan, kami bekerja melalui kepimpinan kolektif.

Jadi, jika anda bercakap tentang membayangi, maka saya fikir... saya boleh faham apa yang anda maksudkan kerana bapa saya (Lim Kit Siang) membayangi saya sepanjang karier politik saya. Pada satu ketika, walaupun saya ketua menteri atau menteri kewangan, dia tak iktiraf saya.

Mereka kata, 'Yang ini adalah anak Kit Siang' jadi saya telah dibayangi dalam erti kata itu tetapi seperti yang saya katakan DAP sentiasa bergerak atas dasar kepimpinan kolektif, jadi ia bukan satu orang (buat keputusan). Tidak, ia tidak pernah bergerak seperti itu.

Itulah sebabnya kami sebahagian besarnya kekal bersatu, dan kami telah mengelakkan pergaduhan antara kumpulan yang sengit dan berpecah-belah seperti yang dilihat dalam parti-parti lain.

Tetapi anda masih akan berada dalam CEC?

Lim: Itu terpulang kepada ahli untuk membuat keputusan.

Jika anda berjaya masuk ke CEC semula…

Lim: Tidak ada jaminan, kamu tahu kan?

Adakah anda berjanji anda tidak akan menjadi setiausaha agung de facto?

Lim: Tidak, saya rasa masing-masing mempunyai peranan (mereka) sendiri untuk dimainkan. Kami akan memainkan peranan kami dengan sewajarnya.

Adakah anda maksudkan, setiap ahli CEC?

Lim: Setiap ahli CEC. Saya fikir bukan hanya jawatan politik, tetapi masing-masing mempunyai peranan masing-masing. Saya tidak menafikan bahawa setiausaha agung adalah jawatan yang paling berkuasa - tetapi tetap, kita berjalan atas dasar kepimpinan kolektif.

Ia bukan seperti diktator. Ia tidak pernah berlaku dalam parti kami. Sejak 2004, parti ini sentiasa stabil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS