Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor gesa k'jaan pusat segerakan moratorium jenayah bunuh diri
Diterbitkan:  Mar 18, 2022 10:06 PM
Dikemaskini: 2:06 PM

Kerajaan negeri Selangor menggesa kerajaan persekutuan menyegerakan moratorium terhadap kesalahan cubaan bunuh diri dan memansuhkan percubaan membunuh diri sebagai jenayah di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis exco kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berhubung isu yang dibangkitkan oleh Adun Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Siti Mariah menjelaskan individu yang terlibat dengan cubaan membunuh diri mempunyai pelbagai faktor yang mendorong kepada perlakuan ini termasuk daripada aspek fizikal dan mental.

"Langkah yang terbaik bukanlah dengan menjatuhkan hukuman terhadap golongan ini, sebaliknya memberikan bantuan dan khidmat nasihat yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.

"Menjatuhkan hukuman bukan sahaja tidak membantu mengatasi masalah ini, malah ia tidak membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mental," katanya.

Exco kesihatan Selangor itu berkata, cadangan melaksanakan moratorium Seksyen 309 - sementara proses pemansuhan Seksyen itu dilakukan - antara langkah segera yang perlu diambil.

Menurut Siti Mariah, Kementerian Kesihatan telah menghantar memorandum berkaitan moratorium jenayah bunuh diri tersebut ke kabinet November lalu.

Pada Okt 2021, timbalan menteri kesihatan Aaron Ago Dagang mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa usaha sedang dilakukan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri selepas Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara bersetuju mengenainya.

Percubaan membunuh diri masih diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan isu itu diletakkan di bawah bidang kuasa polis dan bukannya Kementerian Kesihatan.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan membunuh diri boleh dihukum penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Siti Mariah menambah, memorandum itu merayu kepada kabinet untuk meluluskan tempoh moratorium segera agar tiada sebarang pendakwaan atau sabitan di bawah Seksyen 309 sehingga pindaan atau pemansuhannya dilaksanakan di parlimen.

"Justeru, kita menggesa agar pihak kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses ini dan tidak mengambil masa yang terlalu lama agar moratorium ini dapat dilaksanakan segera," katanya.

Gesaan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri telah dibuat sejak sekian lama.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menyokong desakan untuk memansuhkan jenayah bunuh diri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS