PAU 2021 | Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata kewujudan cai tertentu dalam parti itu bukanlah perkara asing.
Katanya setiap kali ada pemilihan dalam Umno cai sebegitu akan muncul.
Malah dia mempersoalkan mengapa ada pemimpin parti yang seolah-olah terkejut dengan perkara sebegitu.
"Soal cai ini perkara biasa, setiap kali pemilihan ada cai.
"Kenapa rasa macam tak biasa tentang benda tu? Apa yang menghairankan, yang tak normalnya?
"Setiap kali pemilihan cawangan, bahagian, majlis kerja tertinggi, mesti ada cai," katanya kepada media selepas sesi ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyindir pihak tertentu dalam parti yang didakwanya sedang membuat perancangan bagi menghadapi pemilihan parti tahun ini.
Kata Ahmad Zahid, ketika ini pihak terbabit sedang "berpasang-pasangan" dipercayai merujuk kepada usaha mereka membentuk satu pasukan yang lebih besar.
"Bukan saya tidak tahu, sekarang pun sudah ada berpasang-pasangan, ada cai. Harap-harapnya pasangan-pasangan tu kekallah," katanya.
Menurut Tajuddin sebagai orang yang sudah berpuluh tahun terbabit dalam Umno dia sudah menyaksikan pelbagai cai muncul setiap kali berlaku pemilihan.
"Tak payah cakaplah... saya dah 45 tahun dalam Umno, berapa banyak pertandingan saya dah lihat. Ada sahaja cai ini," katanya.
Sementara itu Timbalan Presiden MIC M Saravanan juga menganggap kewujudan cai dalam pemilihan sesebuah parti sebagai perkara biasa.
Ditemui di lokasi sama, menteri sumber manusia itu memberitahu, apa yang penting ialah sikap seseorang itu menguruskan cai berkenaan.
"Semua dalam politik adalah.... Apa yang penting, walaupun ada cai, kita ada sikap keterbukaan," katanya.