Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Setpol MB dakwa MP PKR terkhilaf isu hakisan tanah

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mendakwa Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui terkhilaf apabila berkata Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) membuat permohonan peruntukan segera pascabanjir di bawah Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor berhubung hakisan tanahd di Taman Idaman, Serendah, Hulu Selangor.

Menurut Juwairiya Zulkifli, sebarang permohonan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus disalurkan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen).

"YB ahli parlimen terkhilaf bila menyebut MPHS kata permohonan diserahkan kepada pihak exco infra dan pertanian

"Permohonan MPHS terus kepada Upen, bukan pejabat exco," katanya kepada Malaysiakini, ketika diminta mengulas kenyataan June bahawa tiada maklum balas daripada kerajaan negeri permohonan peruntukan untuk membaiki hakisan tanah.

Sebelum ini, June memberitahu Malaysiakini bahawa menyediakan peruntukan kecemasan membeli dan memasang kanvas bagi menutupi bahagian hakisan tanah.

Katanya, kerajaan negeri Selangor tidak memberi sebarang maklum balas berhubung permohonan MPHS yang meminta peruntukan bawah exco Izham Hashim.

Sementara itu, Juwairiya berkata bahawa isu hakisan tanah itu telah dibincang dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri (MMKN).

"Isu hakisan tanah itu telah masuk MMKN pada Januari lepas.

"MMKN arahkan supaya mereka (MPHS) laksanakan dulu kerja-kerja itu menggunakan peruntukan sedia ada," katanya.

Untuk rekod, pada 31 Jan, Malaysiakini melaporkan bahawa penghuni Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor menyatakan rasa bimbang terhadap hakisan tanah yang berterusan semenjak bulan lepas akan mengakibatkan musibah lebih buruk.

Menurut penduduk, hakisan tanah itu menyebabkan 20 buah rumah jenis teres yang terletak berhampiran kawasan bukit di Lorong Angsana 2, dalam keadaan berbahaya.

Penghuni juga mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan segera sebelum terlambat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS