Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham persoal kritikan prestasi menteri Umno tak memuaskan

PAU 2021 | Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mempersoalkan kritikan sesetengah pihak berhubung prestasi pemimpin Umno dalam kabinet.

"Saya nak tekankan saya tak tahu apa maksud mereka tapi ada desas-desus kata menteri-menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik ini melibatkan saya sendiri.

"Kalau menteri kita (Umno) tak menunjukkan prestasi baik, kejayaan parti di PRN pun tak akan mencapai keputusan yang membanggakan kerana ia jugak bersandarkan kejayaan dan pencapaian kita dalam kerajaan," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

Berkenaan dirinya, Hishammuddin mempersoalkan sejauh mana kebenaran kritikan terhadap pencapaiannya sebagai menteri pertahanan.

"Apa yang saya tidak perform sebagai menteri pertahanan?

"Apa bezanya saya sekarang dengan perfomance menteri-menteri pertahanan sebelum saya, yang kebetulan presiden parti sendiri (Ahmad Zahid Hamidi) dan Najib Razak?

"Apa bezanya (dengan keadaan) hari ini (sehingga) orang tuduh menteri-menteri Umno tak perform?" soal bekas naib presiden Umno itu.

Dalam ucapannya Rabu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata pencapaian Umno dalam kerajaan tidak meyakinkan tetapi mengakui ada yang telah mencuba yang terbaik.

Ketika PRN Melaka, Umno tewas 17 daripada 18 saluran pengundi tentera di DUN Sungai Udang di tangan Perikatan nasional (PN).

Sungai Udang merupakan satu daripada dua DUN yang dimenangi PN. Kerusi DUN satu lagi adalah Bemban.

Bagaimanapun ia bukanlah di luar kelaziman. Pada PRU 2018, BN hanya meraih 53.81 peratus undi tentera.

Sebanyak 25.15 peratus memilih PAS manakala 20.25 peratus lagi kepada PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS