Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAU 2021 | Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berpandangan PRU ke-15 wajar ditangguhkan dahulu bagi memberi ruang kesihatan awam negara dalam keadaan stabil.

Bekas ketua pemuda Umno itu berkata demikian di kala timbul gesaan daripada sebahagian pihak dalam Umno agar ia disegerakan.

Antara yang berpandangan sedemikian adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.

Khairy menyuarakan penghargaan kepada Zahid kerana menyerahkan tarikh untuk menentukan pilihan raya umum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan naib presiden parti itu.

"Sebagai menteri kesihatan, wajar kita tunggu dulu, sehingga keadaan kesihatan awam stabil dan saya lihat semangat presiden parti, betul tadi.

"Walaupun dia kata dari segi akar umbi Umno mengkehendaki pilihan raya awal, tapi dia kata akhirnya serah pada perdana menteri.

“Perdana menteri akan mengambil kira pandangan bukan saja dari soal pemulihan pemulihan negara, perjanjian pembangkang untuk reformasi institusi, tetapi juga saya percaya dia akan mendengar pandangan Kementerian Kesihatan berkenaan kesihatan awam kita.

“Kita akan masuk fasa peralihan endemik, tapi lebih baik kita tangguh dahulu perkara yang merumitkan ini. PRU adalah perkara yang boleh kita tangguhkan dahulu sehingga keadaan kesihatan awam lebih stabil.

"Kita terima kasihlah kepada perdana menteri kerana memahamkan, kepada presiden kerana memahami, dan kerana serah perkara itu kepada perdana menteri. Bagi saya itulah sikap yang betul," katanya ketika sidang media dalam Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Khairy pernah menyuarakan pandangan sama, juga atas sebab yang sama, sebelum ini.

Disoal bila anggaran masa yang diperlukan untuk tahap kesihatan awam negara mencapai kestabilan, Khairy memberi anggaran masa beberapa bulan.

Katanya dia mahu melihat dahulu kesan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini, selain daripada kelonggaran prosedur operasi standard yang telah dijalankan seperti kelonggaran solat tarawih pada bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih-lebih lagi, katanya, negara-negara Eropah yang telah mencatatkan penurunan kes telah menunjukkan peningkatan baru-baru ini.

"Jangkaan kita pembukaan ini akan dibuat dengan selamat dan tak akan ada tekanan kepada sistem kesihatan awam kita, tapi apa yang kita tak tahu adalah dari segi varian-varian baru yang mungkin muncul.

"Jadi saya nak tengok lepas 1 April ni, apabila kita ada lebih banyak lagi kelonggaran, solat tarawih, hari raya dan sebagainya, sama ada melonjak naik atau tidak.

"Kes tak apa, tapi melonjak naik ke tidak (dari segi) kemasukan hospital, unit rawatan rapi (ICU). Jadi saya nak tengok dalam beberapa bulan lagi sama ada keadaan itu stabil atau tidak, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS