PAU 2021 | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara berkias mengingatkan dia sedar berlaku gerakan percaturan sebagai persediaan menghadapi pemilihan parti itu.
Mengakui dirinya manusia biasa dan tidak maksum, Ahmad Zahid berkata sepatutnya sekarang perhatian ahli dan pemimpin ditumpukan kepada parti, bukannya mengatur strategi menjelang pemilihan - yang mesti diadakan sebelum 29 Dis tahun ini.
Justeru kata Ahmad Zahid setiap sesuatu itu perlu ada batasannya.
Katanya walaupun dilihat banyak bertolak-ansur, semua perkembangan yang berlaku di sekelilingnya tetap disedari.
"Saya mungkin dilihat banyak berdiam diri dan bertolak ansur, namun itu tidak bererti saya leka. Janganlah uji saya banyak-banyak.
"Usahlah asak saya sampai ke dinding. Saya tidak maksum. Saya tidak sempurna (tetapi) setiap perbuatan kita perlu ada hadnya!" kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.
Dia berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar presiden di Kuala Lumpur hari ini.
Menegaskan hal itu dengan lebih lanjut Ahmad Zahid berkata dia tidak mengendahkan jika serangan tersebut dilakukan oleh orang di luar parti malah sudah biasa dengan keadaan berkenaan.
"Tetapi saya kecewa dengan mereka yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengkhianati parti dari dalam," katanya.
Secara bersahaja bekas timbalan perdana menteri itu mengingatkan sebelum ini dia pernah menjadi menteri pertahahan dan menteri dalam negeri.
Kedua-dua agensi keselamatan itu, katanya, memiliki unit risikan yang tersendiri.
Dia bagaimanapun meminta ahli dan pemimpin Umno terus memberikan fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu menghadapi pilihan raya umum.
Ada kawan bersyarat
Katanya penyatuan parti adalah lebih utama berbanding pemilihan parti yang boleh membawa kepada perpecahan.
"Ada cai, saya tahu... bukan saya tak tahu siapa pengurus kempen, siapa yang menyalurkan kewangan, bukan presiden tak tahu.
"Presiden bekas menteri pertahanan bekas menteri dalam negeri ada risik di bawah, (sepatutnya) kita tumpu penyatuan parti," katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata gerakan tersebut berlaku semasa pilihan raya negeri diadakan di Melaka dan Johor baru-baru ini.
Menurutnya lagi Umno mengamalkan budaya yang kita tidak mencerca kawan walaupun dikecam dari segenap arah.
"Namun kita perlu sentiasa waspada. We have to draw the line (Perlu ada sempadan) dalam persahabatan. Ada kawan yang bersama kita sehingga akhir hayat.
"Malah, ada kawan yang meninggalkan kita sewaktu kita susah, dan ada pula yang berkawan dengan kita secara bersyarat.
"Jadi, pilihlah kawan yang benar-benar ikhlas dan jujur. Pilihlah kawan dunia akhirat. Pilihlah kawan-kawan yang taat dan setia kepada parti. Dalam lawan ada kawan, dalam kawan ada lawan," katanya.