Bukit Aman memanggil aktivis dan pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy petang ini berhubung video yang dimuat naik di media sosial, mengulas status agama anak-anak Loh Siew Hong.
Dalam video itu, yang dimuat naik ke akaun Facebook peribadinya pada 25 Feb, Arun (atas) berkata bahawa anak-anak Loh adalah sah beragama Hindu dan bukannya Islam.
Ini walaupun suaminya ketika itu secara sepihak menukar agama mereka tiga tahun lalu.
“Saya dituduh menghasut dan menyebarkan berita palsu dengan tujuan menimbulkan kemarahan orang ramai dan mengganggu ketenteraman awam.
"Ini jelas melanggar keadilan semula jadi dan hak saya di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan kebebasan bersuara.
“Memang menyedihkan dan keterlaluan hak saya untuk kebebasan bersuara dihadkan walaupun saya memetik undang-undang dan kedudukannya seperti yang ditafsirkan oleh mahkamah.
“Tak masuk akal saya disiasat kerana mengganggu ketenteraman apabila saya telah menyatakan secara khusus dalam video saya bahawa perkara ini harus diserahkan kepada mahkamah dan tidak dipolitikkan atau dikaitkan dengan kaum. Kebebasan berperlembagaan mesti diutamakan,” kata Arun dalam satu kenyataan.
Arun disoal siasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abdul Jalil Hassan, yang berkata laporan polis dibuat pada 3 Mac berhubung video itu.
Arun berkata dia telah ditanya 27 soalan sepanjang soal siasat. Peguamnya, Siti Kasim, turut hadir.
Aktivis itu menambah bahawa dia mempertahankan andungan dalam video itu dan sejak itu menyiarkannya semula di Facebooknya.
“Semua kenyataan yang dibuat oleh saya adalah benar, tepat dari segi fakta dan diperoleh daripada maklumat yang sedia ada kepada orang ramai.
"Saya hanya menyatakan undang-undang dan kedudukan semasanya serta menggesa supaya tiada ulasan atau percubaan dibuat untuk mempolitikkan atau memfitnah keadaan yang dihadapi oleh Loh," katanya.