Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bahagian akur pelantikan Onn sebagai MB Johor - Puad

Pimpinan akar umbi Umno di Johor menerima pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor yang baru dan perkara itu sudah tidak menjadi isu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

"Saya rasa sudah tidak menjadi isu tentang pelantikan menteri besar sebab Onn Hafiz sudah angkat sumpah sebagai MB. Bagi saya ia tidak menjadi isu bahkan Datuk Seri Hasni pun sudah nyata pendirian bahawa dia patuh dengan keputusan yang sudah dibuat.

“Pada saya pun tidak berbangkit isu ini di kalangan pimpinan Umno bahagian di Johor sebab kita akur dengan apa yang sudah diputuskan walaupun sebelum ni mungkin ada di kalangan beberapa orang memberikan pandangan kerana nama Hasni telah disebut dan telah diputuskan lebih awal sebagai calon MB.

"Pada kita, kita moving forward (melangkah ke depan) supaya ia tidak berpanjangan sebab kita kena fokus dengan apa yang sudah dijanjikan untuk rakyat yang menyebabkan mereka memberi mandat majoriti kukuh kepada BN (dalam pilihan raya negeri),” katanya kepada Malaysiakini dan KiniTV ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Puad turut ditanya mengenai 'kuasa lebih tinggi' yang dikatakan membuat keputusan mengenai pelantikan Onn sebagai menteri besar Johor.

"Sebenarnya MKT sudah pun mencadangkan Hasni, tapi barangkali kerana ada perbincangan dan perkenan tuanku sultan Johor, barangkali parti sebagai parti yang setia kepada sultan, maka kita menerima apa yang dicadangkan dan diperkenankan oleh tuanku Sultan Johor," katanya.

Dalam pada itu Puad turut mengesahkan 38 daripada 40 ADUN BN di Johor sebelum inni telah mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menyokong Hasni sebagai calon tunggal menteri besar.

“Itu memang berlaku sebelum hari pengundian, pada saya tu memang perkara biasalah, jadi bila keputusan sudah dibuat, kita akur kepada keputusan baru," katanya.

Umno sebelum ini dilpaor dilihat seolah-olah menolak campur tangan "kuasa lebih tinggi" yang dikatakan mengganggu pelantikan Hasni Mohamad sebagai menteri besar.

Terdapat laporan bahawa 38 daripada 40 Adun BN di Johor akuan bersumpah menyokong Hasni sebagai calon tunggal bagi jawatan itu.

SD itu diserahkan oleh Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi ke Istana Johor pada 14 Mac.

Sumber berkata "kuasa lebih tinggi" memihak kepada Onn Hafiz untuk menjadi menteri besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS