Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin lama harus lepaskan kepada kepimpinan baru - penganalisis
Diterbitkan:  Mar 17, 2022 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Penganalisis politik Mohammad Agus Yusoff menyarankan supaya pemimpin lama yang sudah terlalu lama berkuasa memimpin parti melepaskan kepada kepimpinan baru.

Menyebut beberapa nama pemimpin kanan parti dengan menggunakan akronim, Agus berpendapat ini kerana kepimpinan pemimpin lama tersebut tidak menampakkan perubahan positif terhadap negara.

Malah, katanya, keadaan politik semakin kacau bilau di bawah kepimpinan mereka yang sudah terlalu lama menerajui parti.

“Oleh itu, sampai masanya pemimpin lama melepaskan teraju kepada kepimpinan baharu. Bukan mereka tidak hebat, tetapi tuntutan sekarang tidak sesuai lagi dengan gaya kepemimpinan mereka.

“Khusus untuk Tun (Dr Mahathir Mohamad), DSAI (Anwar Ibrahim), TSMY (Muhyiddin Yassin), DSNR (Najib Razak), DZH (Zahid Hamidi), TGHA (Abdul Hadi Awang), LGE (Lim Guan Eng), MS (Mohamad Sabu) — lepaslah teraju parti kepada pemimpin baharu.

“Jika mahu kekal dalam politik dan masih sayangkan parti masing-masing, jadilah pengerusi parti atau ketua umum sahaja. Biar urusan operasi harian parti diuruskan oleh orang baru,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menyifatkan situasi politik selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebagai terencat, Agus berkata keadaan negara yang tidak menampakkan sebarang perubahan positif sama ada dari segi ekonomi mahupun politik, selepas empat pilihan raya negeri diadakan di tengah-tengah negara masih dilanda wabak dan pertukaran tiga menteri sejak 2018 sehingga kini.

“Dengan tiga (pertukaran) perdana menteri ini, apa yang dapat dilihat ialah ekonomi negara tidak terurus baik, rasuah berleluasa, kos barangan menaik, peluang pekerjaan terbatas, pengangguran rakyat meningkat, nilai ringgit merudum, bilangan menteri bertambah, dan hutang negara membengkak,” katanya.

Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya pada PRU 2018 selepas BN mentadbir negara lebih dari enam dekad. Kerajaan PH kemudian menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Namun, selepas 22 bulan pentadbiran, kerajaan PH tumbang susulan pengkhianatan melalui Langkah Sheraton dan menyaksikan Muhyiddin Yassin diangkat sebagai perdana menteri kelapan dan seterusnya diganti oleh Ismail Sabri Yaakob setelah Muhyiddin meletakkan jawatan.

“Pertanyaannya, selepas empat PRN, semakin majukah empat negeri tersebut? Dalam konteks negara pula, semakin stabilkah politik kita? Semakin yakinkah pelabur kepada negara kita? Semakin perlukah kita kepada PRU ke-15 dipercepatkan?

“Saya pesimis untuk memberikan jawapan positif kepada semua pertanyaan di atas. Pada hemat saya, politik negara tidak akan stabil selagi pemimpin parti sekarang masih lagi sebagai aktor utamanya,” kata Agus.

Katanya, pengorbanan itu perlu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin lama berkenaan demi jasa bakti mereka kepada negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS