Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak pendakwaan membantah soalan peguam Najib Razak yang menyoal saksi dalam perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam hari ini membantah pemeriksaan balas peguam Hariharan Tara Singh terhadap bekas pengarah lembaga 1MDB Ismee Ismail.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, pendakwa berhujah bahawa soalan-soalan itu sepatutnya dibangkitkan ketika bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menjadi saksi.

Sebelum ini semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Sept 2019, saksi pendakwaan kesembilan Shahrol memberi keterangan berhubung masalah dengan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, pada awal 2009, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Shahrol kemudiannya memberi keterangan bahawa Yang di-Pertuan Agong murka atas pengendalian rancangan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bagi pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion.

Saksi itu kemudian memberi keterangan bahawa walaupun dia diarahkan oleh Istana untuk menandatangani resolusi untuk menghentikan program IMTN, pengeluaran bon itu diteruskan.

Ditubuhkan pada Feb 2009, TIA kemudian berubah menjadi 1MDB pada akhir tahun itu. TIA dimiliki oleh Menteri Besar Diperbadankan manakala yang 1MDB dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Semasa perbicaraan hari ini, Hariharan sedang menyoal balas Ismee berhubung peranan Shahrol dalam meneruskan pengeluaran IMTN walaupun mendapat bantahan daripada pihak istana.

Sebagai tindak balas, Mustaffa membantah soalan itu, berhujah bahawa soalan berkenaan telah pun dilontarkan oleh pembelaan Najib terhadap Shahrol ketika memberi keterangan dalam prosiding lalu.

Apabila Sequerah memberitahu Hariharan bahawa Shahrol sebelum ini pernah berdepan dengan soalan yang sama, Hariharan menjawab bahawa ia adalah kerana Shahrol adalah pengarah TIA ketika itu dan sama ada dia (Shahrol) menentang kehendak lembaga pengarah atau tidak.

Dalam tempoh singkat kewujudan TIA, lembaga pengarahnya terdiri antara lain terdiri daripada Sultan Mizan.

Menjawab Hariharan, Mustaffa membalas bahawa pasukan pembelaan mesti adil dalam pemeriksaan balas Ismee kerana Shahrol sebelum ini memberi keterangan bahawa ia adalah atas arahan Najib untuk meneruskan IMTN.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

“Jika itu keadaannya, maka peguam (Hariharan) mesti berlaku adil dalam menangani saksi (Ismee), kerana Shahrol memang ada berkata (memberi keterangan sebelum ini) dia mendapat arahan daripada tertuduh (Najib) untuk meneruskan IMTN,” kata Mustaffa.

Bagaimanapun, Sequerah membenarkan Hariharan meneruskan pemeriksaan balas sambil mengingatkan bahawa soalan itu sebelum ini telah dikemukakan kepada Shahrol.

Perbicaraan ditetapkan untuk disambung semula petang ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS