Paling Popular
Terkini

PAU 2021 | Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan memberikan penjelasan mengenai pelantikan menteri besar baru Johor dalam perhimpunan agung esok.

Turut akan dijelaskan, kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, ialah mengenai suara parti yang mahu parlimen dibubarkan segera - dan yang menolaknya - bagi membuka laluan untuk pilihan raya umum (PRU).

"Kedua-dua persoalan ini akan saya jawab besok," katanya kepada media selepas melawat persidangan tiga sayap Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid ditanya mengenai isu pelantikan Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar Johor di sebalik nama Hasni Mohammad yang dicadangkan oleh Umno.

Hasni yang juga Adun Benut merupakan penyandang menteri besar, manakala Onn Hafiz Adun Machap yang juga bekas exco Pemuda Umno Malaysia.

Ia menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak termasuk veteran Umno, Shahrir Samad, yang menzahirkan rasa tidak senangnya secara terbuka.

Sumber Umno Johor yang dipetik Bernama pula memberitahu tiada perwakilan dari negeri itu akan berbahas sepanjang persidangan kali ini ekoran isu pelantikan berkenaan.

Laporan menyebut 38 daripada 40 Adun Umno memberikan sokongan kepada Hasni agar dilantik menjadi menteri besar namun tidak mendapat perkenan daripada Sultan Johor.

Ahmad Zahid dijadual menyampaikan ucapan dasar presiden pada pagi esok sebelum dibahaskan perwakilan dari seluruh negara.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan bermesyuarat khas malam ini akan menentukan usul-usul yang akan dibentang dan dibahaskan esok.

"Kami akan meneliti usul-usul yang akan dibentangkan oleh pengerusi usul pada malam ini dan menentukan sama ada ia akan diluluskan tanpa pindaan atau dengan pindaan," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, antara yang akan dibincangkan ialah mesej dan saranan dalam ucapan dasar presiden.

Salah seorang anggota MKT Umno, Mohd Puad Zarkashi, dilaporkan berkata parti akan mengemukakan usul agar parlimen dibubarkan dalam perhimpunan kali ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS