PAU 2021 | Pemuda dan Puteri Umno menggesa supaya perlembagaan parti dipinda bagi membolehkan pemilihan diadakan selepas pilihan raya umum.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia penting bagi memastikan kesepaduan parti tidak dirosakkan oleh gelombang pemilihan.

"Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur.

"Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?

"Usah hanyut dalam gelora pemilihan parti. (Akan) mula kembali budaya bobrok lama membawa rombongan ke sana sini, menyusun jentera, membuat pelbagai gerakan untuk mencatur dan menjatuhkan sesama sendiri.

"Ingatlah, jika bahtera kita karam buat kali kedua, jawatan parti pun sudah tidak bernilai lagi," katanya dalam ucapan dasar persidangan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh itu Pemuda Umno mengusulkan supaya perhimpunan agung kali ini meminda perlembagaan parti seperti mana yang telah dilakukan MCA.

"Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan perhimpunan agung Umno agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen kita MCA supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali pilihan raya umum," katanya.

Cadangan senada turut disuarakan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan dalam ucapan dasarnya semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2021.

Katanya, dengan pindaan itu, ahli akan dapat menilai pemimpin mana yang rela berkoban demi kemenangan dalam PRU dan pemimpin mana pula yang sanggup berhabis demi memastikan jawatan sendiri dalam parti.

“Kita kenal siapa yang bertungkus-lumus dalam setiap PRK dan PRN untuk memastikan kemenangan parti - baik di Sabah, baik di Melaka, baik di Johor.

“Siapa pula yang hanya akan ligat berpusing berkempen hanya untuk jawatan dalam parti, tapi acuh tidak acuh apabila parti berhadapan dengan lawan. Ada yang sangat berkira apabila turun membantu parti, tapi menunjukkan kemewahan yang luar biasa bila berkempen untuk diri sendiri.

“Buatlah PRU dulu. Kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang untuk kemenangan parti, kita akan angkat mereka setinggi-tingginya dalam pemilihan parti nanti.

“Buat masa ini, tenaga dan fokus kita seharusnya hanya untuk PRU,” katanya.

Atas dasar itulah, kata Zahida lagi, dia mencadangkan agar kepemimpinan parti meminda perlembagaan bagi membolehkan pemilihan diadakan hanya selepas PRU.

“Maka hari ini Puteri mendesak perhimpunan agung luar biasa diadakan semasa PAU kali ini untuk meminda perlembagaan bagi memastikan pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU,” katanya disambut tepukan dan sorakan perwakilan yang hadir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS