WAWANCARA | Walaupun memilih untuk tidak mencampuri hal ehwal dalaman PKR, Lim Guan Eng tetap menyuarakan pandangannya sendiri.
Ia melibatkan pengumuman bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR Mei ini.
Berbanding jawatan nombor dua, Setiausaha Agung DAP itu mencadangkan agar Rafizi terus mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan tertinggi parti itu.
Dia membangkitkan perkara tersebut ketika menjawab kenyataan pedas Rafizi mengenai PH, yang didakwanya sedang mempertimbangkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRU akan datang.
Bagaimanapun, Lim percaya kritikan itu ditujukan kepada Anwar.
“Saya malah keluarkan kenyataan sebelum dia (Rafizi) keluar (kenyataan) - saya mengatakan tidak kepada PN. Di mana isunya?
“Saya rasa yang ini pada dasarnya ditujukan kepada Anwar kerana dia menyebut bukan sahaja PH tetapi PKR (juga). Jadi, dari situ jelaslah kalau ada sebarang rundingan, mereka (PN) akan berbincang dengan Anwar.
“Mereka tidak akan (bercakap) dengan kami. Jika perlu, anda minta kami (Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu) untuk sertai (perbincangan) tetapi pada asasnya, Anwar akan menjadi orang utama untuk ditemui.
“Jadi, sasaran dia (Rafizi) ialah Anwar. Saya fikir kerana ini adalah untuk kempennya bagi jawatan timbalan presiden, saya tidak mahu masuk campur.
"Mungkin, berbanding jawatan timbalan presiden, dia patut terus bertanding untuk jawatan presiden," kata Lim dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.
Mengulangi bahawa dia tidak mahu terperangkap dalam pertembungan antara Anwar dan Rafizi, Lim berkata dia hanya mahu menjelaskan keadaan.
"Saya rasa dia (Rafizi) silap fakta," tambahnya.
Baca: ‘Saya tak tanding jawatan presiden PKR sebab tak mahu kelam-kabut’
Mengulas lanjut, Lim berkata pemimpin PH belum mengadakan perbincangan dengan PN berhubung kerjasama pilihan raya.
Bekas menteri kewangan itu turut menjelaskan bahawa dia bercakap bagi pihak pemimpin DAP dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
“Setakat ini tiada perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi. Saya merujuk diri saya sendiri dan Mat Sabu - tiada perbincangan. Pemimpin peringkat kedua bercakap dengan semua orang. Di Parlimen, anda bercakap dengan semua orang," katanya lagi.
‘Tiada perbincangan dengan PN’
Ditanya jika Anwar berminat untuk bekerjasma dengnan PN, yang dianggotai dalang utama di sebalik Langkah Sheraton, Lim berkata soalan itu lebih baik diawab oleh presiden PKR sendiri.
“Di pihak DAP, seperti yang saya katakan, tidak tidak berbincang dengan PN.
“Setakat ketika atau selepas PRN Johor, di peringkat tertinggi, Mat Sabu dan saya tidak pernah bertemu Muhyiddin. Saya tak rasa Anwar ada berjumpa Muhyiddin.
“Tetapi selepas PRN, sama ada mereka (Anwar dan Muhyiddin) ada berjumpa dan bercakap di Parlimen, itu anda perlu tanya Anwar,” katanya lagi.
Mengulas cadangan ahli parlimen DAP Ong Kian Ming agar PH menggunakan pendekatan yang fleksibel, Lim berkata Ong melihat perkara itu dari perspektif akademik, dari segi corak pengundian dalam PRN Johor.
“Ong lihat dari sudut perspekif untuk lihat bagaimana ada dapat maksimumkan peluang anda, tetapi ini persoalan politik. Anda boleh fleksibel tetapi tak boleh kompromi prinsip anda,” katanya.
Berhubung tanggapan yang dia dilihat lebih rapat dengan Mat Sabu berbanding Anwar, Lim berkata ini kerana dia menghabiskan 18 bulan di penjara bersama-sama presiden Amanah itu.
“Saya juga rapat dengan Anwar, dan Mat Sabu juga mungkin rapat dengan Anwar. Ketika masih muda, mereka bersama-sama.
“Tetapi untuk saya dan Mat Sabu, ini kerana kami di kem (penjara) sama, kami dapat saling mengenali dengan baik…apabila anda berdepan kesusahan bersama-sama, anda jalinkan persahabatan yang sebenar,” katanya lagi.