Paling Popular
Terkini

PAU 2021 | Mohamad Hasan berkata Umno tidak akan "bercinta" dengan pihak yang "curang" dalam hubungan kerjasama, serta mereka yang suka bermain 'banyak kolam.'

Meskipun tidak menyebut nama, kiasan tegas Timbalan Presiden Umno boleh dibaca ditujukan kepada rakan sekutu parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu, PAS.

Jelasnya, Umno juga tidak akan sesekali berpakat dengan parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan Umno.

"Semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah. Bukan hanya tangkap muat seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN).

"Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil.

"Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan Umno. Apa lagi DAP dengan agenda cauvinismenya.

"Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan daripada semua dan berasmara dengan pelbagai musuh Umno tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan Umno, pendirian Umno ialah tidak pada yang curang dan hanya pada yang setia," katanya ketika berucap merasmikan persidangan tiga sayap Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama tiga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Mohamed Khaled Nordin.

Biar pengundi tentukan masa depan

Umno sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan PAS melalui MN selepas BN tumbang dalam pilihan raya umum yang lalu.

Kerjasama yang dirintis pada mulanya tampak elok, namun dilanda badai selepas PAS membuat keputusan untuk bersama Bersatu dalam PN.

Hubungan Umno dengan PAS semakin tegang apabila parti itu terpaksa bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Umno mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui perjanjian bersama atau yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini.

"Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan.

“Semua itu hanyalah kosmetik. Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa.

"Umno mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui perjanjian bersama atau coalition agreement yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini.

"Ia wajar menjadi rukun dan tiang seri yang mendasari kerjasama pembentukan kerajaan.

"Dan setelah lima tahun, kita kembali semula kepada pengundi dengan jalan masing-masing.

"Biar pengundi menentukan masa depan kita dan pencapaian kita serta memilih kerajaan seterusnya," katanya.

Tambah Mohamad meskipun Umno digelar "itik patah kaki" namun hakikatnya parti itu kini mendapat kembali sokongan orang Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS