mk-logo
Berita
Zuraida akan jumpa sendiri CBP, isu sekat produk Sime Darby ke AS

PARLIMEN | Menteri Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin menyatakan kesediaan untuk berhubung secara peribadi dengan pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat berhubung dakwaan buruh paksa terhadap syarikat gergasi minyak sawit Malaysia Sime Darby Plantation.

Zuraida dalam penggulungan perbahasan titah diraja berkata dia akan mengetuai delegasi ke AS untuk bertemu CBP.

"Kami sepatutnya pergi ke AS pada Januari tetapi mereka membatalkan pertemuan kami kerana Covid.

"Esok saya akan pergi ke Kedutaan AS dan saya akan meminta tarikh lain untuk saya pergi dan menghadap CBP," kata Zuraida di Dewan Rakyat.

Dia menjawab soalan R Sivarasa (Harapan-Sungai Buloh) yang mencelah untuk mendapatkan penjelasan mengenai sekatan yang dikenakan terhadap Sime Darby pada Disember 2020.

CBP pada masa itu berkata pengeluaran Perintah Penahanan Pelepasan terhadap minyak sawit Sime Darby Plantation berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluarannya.

Dengan pengeluaran perintah itu, CBP berkata kakitangannya di semua pelabuhan masuk AS akan menahan minyak sawit dan sebarang produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby dan entiti berkaitan di Malaysia.

Sementara itu, Zuraida mendedahkan dakwaan buruh paksa terhadap Sime Darby Plantations dikaitkan dengan tahanan parol yang diambil melalui program di bawah Kementerian Sumber Manusia.

"Saya ada hujah, dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) PBB ada (dinyatakan) none is left behind (tiada yang ditinggalkan).

"SDGs 4, 8 dan 10 tentang inclusivity (keterangkuman).

"Ini yang saya akan beritahu mereka," tegasnya.

Zuraida seterusnya berkata dia mempunyai isu dengan sekatan itu yang dikatakan hanya berdasarkan "dakwaan rawak" daripada pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis.

Bulan lalu, CBP berkata mereka tidak sabar untuk bekerjasama dengan Sime Darby Plantation dalam menangani isu buruh paksa yang menyebabkan produk syarikat itu disekat daripada memasuki AS.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS