Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas Hadi 'dibedal' Riduan tampil bela pemimpin 'karamah'
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 4:40 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Seorang pemimpin PAS mengaku berasa jelik dengan sikap “ahli parlimen bebas” yang didakwanya membedal Presiden PAS Abdul Hadi Awang setelah meninggalkan parti berkenaan.

Menggunakan bahasa kiasan, ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor, berkata dalam sesebuah perkahwinan, perceraian bukanlah lesen untuk seseorang mengaibkan bekas pasangan mereka sehingga seolah-olah tiada secubit pun kebaikan yang dituai dalam perkahwinan tersebut.

Sedangkan, katanya, ahli parlimen berkenaan “mendapat laba kehidupan yang besar” apabila bersama PAS sebelum dia "berpindah kapal.

“Itulah tamsilan yang sama apabila kita berpindah kapal. Jangan dibakar pakaian nakhoda walau membusung kebencian searas mana sekali pun!

"Naratif hitam cuba digarap untuk mewajarkan justifikasi mengapa baiah dilanggar dan melepaskan ikatan daripada jamaah Islam. Pemandu disalahkan dan diremehkan kononnya melanggar prinsip parti dalam memutuskan tindakan besar pemuafakatan politik PAS.

“Kami insya-Allah mengenali ketulenan watak tuan guru presiden yang bergulat dalam medan amal Islami semenjak zaman remaja,” tegasnya dalam catatan di harakahdaily hari ini.

Tanpa menyebut mana-mana nama, agak jelas Riduan menyasarkan kritikannya itu kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali, yang mengejutkan ramai orang apabila membuat keputusan meninggalkan PAS kelmarin.

Dia kemudian mengumumkan untuk menjadi ahli parlimen bebas.

Dia sangat genius

Dalam temu bual di dengan BernamaTV malam tadi, Khairuddin membidas ketas Abdul Hadi.

Antaranya Khairuddin mempertikaikan keputusan PAS menandatangani perjanjian dengan dengan Perikatan Nasional (PN) tanpa meminta pandangan kepemimpinan parti, serta tidak mengikut lunas perlembagaannya.

Khairuddin juga membayangkan langkahnya keluar dari PAS adalah bersifat sementara dan mungkin sehingga Abdul Hadi masih menjadi pemimpin parti.

Khairuddin Aman Razali

Riduan turut menzahirkan sanjungan yang amat tinggi buat Abdul Hadi - yang digelarnya mesra dipanggil sebagai Ayah Chik - melalui pelbagai pengalaman peribadi yang dicoretkan sepanjang berkelana bersama ahli parlimen Marang itu termasuk di Afrika Utara, Algeria dan Tunisia.

Katanya, sepanjang musafir mereka sentiasa menjaga solat, dibajai tazkirah dan Abdul Hadi didakwanya sangat memanfaatkan masa, bahkan sepanjang perjalanan dalam pesawat, masanya tidak dibiar terbazir sia-sia.

“Sepanjang perjalanan udara, sibuk meninta (menulis) untuk dihidang kepada ummah," katanya.

Tetap dengar dan taat

Tambah Riduan, berdasarkan pengamatannya terhadap Abdul Hadi, duta khas bertaraf menteri itu berpengalaman luas serta memiliki tahap kognitif mengagumkan itu, membuktikan dia “sangat genius” serta bukan tokoh mempunyai inferiority complex (sifat tidak percaya diri).

“Aku saksi mata banyak perkara, bahkan karamah sosok ulama haraki ini namun apa pesanan Ayah Chik padaku, 'enta, Wan, jangan tulis!’. Insan ini tak mahu dikultuskan.

“Demi Allah, aku ingin sangat menulis mengenai AC (Ayah Chik) dari sudut pandang in person namun tak dibenarkan lagi selagi mana beliau masih hidup," katanya.

Katanya, daya saing dan pengalaman Abdul Hadi turut diiktiraf pemimpin serta gerakan dunia Islam.

“Siapakah anda yang melabelnya sebagai pemandu yang membawa kenderaan sehingga terhuyung-hayang?” sindirnya.

Abdul Hadi Awang

Dia juga berdoa agar Abdul Hadi terus sihat bagi membimbing dan memandu ahli PAS.

“Kami tak pernah berasa pening dan terhuyung-hayang dalam kafilah ini.

"Kami tenang meneguk mutiara ilmu daripada Ayah Chik, kami yakin keupayaan Ayah Chik merencah strategi parti dalam membadai siasah Malaysia yang sangat rencam ini.

“Kami dengar dan kami taat!” coretnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS