Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakisan tanah: MP ambil inisiatif sendiri, dakwa tiada tindakan k'jaan negeri S'gor
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow Hsiad Hui menyediakan peruntukan kecemasan membeli dan memasang kanvas bagi menutupi bahagian hakisan tanah di Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor.

Dalam satu kenyataan, Leow mendakwa kerajaan negeri Selangor tidak memberi sebarang maklum balas berhubung permohonan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang meminta peruntukan segera pascabanjir di bawah Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Ir Izham Hashim.

"Pada 31 Januari 2022, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Selangor telah menerima aduan mengenai hakisan tanah yang berlaku berdekatan Taman Idaman Serendah dan memanjangkan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor untuk tindakan segera.

"Berdasarkan maklum balas dari MPHS, kawasan tanah runtuh tersebut adalah tanah kerajaan negeri Selangor. MPHS juga memaklumkan permohonan peruntukan segera pascabanjir telah didaftarkan ke pihak Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor.

"Sehingga kini masih tak ada sebarang tindakan dan maklum balas dari pihak Exco Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Untuk rekod, pada 31 Jan, Malaysiakini melaporkan bahawa penghuni Taman Idaman, Serendah di Hulu Selangor menyatakan rasa bimbang terhadap hakisan tanah yang berterusan semenjak bulan lepas akan mengakibatkan musibah lebih buruk.

Menurut penduduk, hakisan tanah itu menyebabkan 20 buah rumah jenis teres yang terletak berhampiran kawasan bukit di Lorong Angsana 2, dalam keadaan berbahaya.

Penghuni juga mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan segera sebelum terlambat.

Sementara itu, Leow berkata bahawa hasrat memasang kanvas untuk menutup bahagian hakisan tanah telah disampaikan kepada Pegawai Daerah Hulu Selangor dan sedang dalam tindakan susulan agensi berkaitan.

"Ini adalah usaha jangka pendek kita untuk memastikan keselamatan masyarakat sekitar tidak diancam risiko tinggi runtuhan tanah.

"Diharapkan usaha ini dapat mengurangkan kegusaran masyarakat sekitar. Pihak berwajib akan sentiasa memantau perkembangan terkini keadaan di tapak tersebut dan akan segera mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan situasi semasa," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pejabat menteri besar untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS