Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun BN di Melaka digesa buktikan tiada krisis jawatan ketua menteri
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 1:40 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee menggesa kesemua 20 Adun BN di Melaka menyatakan sama ada mereka masih menyokong Sulaiman Md Ali (gambar) susulan dakwaan terdapat usaha menggulingkan ketua menteri Melaka itu.

"Pertengkaran dalaman Umno Melaka bukan rahsia kepada rakyat Melaka, dan jawatan ketua menteri negeri Melaka sering dikatakan dalam rebutan oleh pemimpin Umno Melaka yang lain.

"... Saya berpendirian bahawa rakyat Melaka berhak untuk mengetahui sama ada pentadbiran negeri Melaka masih stabil, dan BN Melaka perlu membuktikan bahawa tiada krisis jawatan ketua menteri Melaka seperti yang dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerk merujuk kepada laporan The Vibes yang mendakwa bahawa Sulaiman kecewa kerana keputusan utama kerajaan dibuat tanpa persetujuannya dan sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Dakwaan itu mempunyai persamaan kepada sebab kejatuhan kerajaan sebelum ini yang terdiri daripada Umno dan Bersatu ketika itu.

Tahun lepas, sekumpulan Adun Umno dan Bersatu telah keluar daripada kerajaan. Antara dakwaan mereka ialah Sulaiman dikawal oleh orang lain.

Ini menyebabkan Sulaiman kehilangan majoritinya dan mendorongnya untuk mengadakan PRN, yang dimenangi BN dengan selesa apabila meraih 21 daripada 28 kerusi pada November lalu.

Ketua Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dikaitkan sebagai individu yang mengawal Sulaiman.

Ab Rauf menafikan secara terbuka dakwaan itu semasa kempen BN.

Semasa kempen, terdapat spekulasi bahawa Ab Rauf boleh menjadi ketua menteri tetapi kepimpinan pusat akhirnya mengumumkan bahawa mereka akan mengekalkan Sulaiman.

Bagaimanapun, dakwaan itu kembali muncul dengan spekulasi bahawa Sulaiman telah ditolak dan sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Laporan itu menyatakan bahawa jika Sulaiman meletakkan jawatan, Ab Rauf mungkin mengambil alih jawatan berkenaan.

Kerk berkata gerakan politik itu adalah bercanggah dengan mesej kempen BN tentang kestabilan politik.

"Hanya beberapa bulan yang lalu, pilihan raya negeri Melaka diadakan kerana 4 orang ADUN kerajaan Melaka menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

"Kini, hanya bulan ke-4 kerajaan baru negeri Melaka ditubuhkan, jawatan Ketua Menteri Melaka dan pentadbiran kerajaan negeri Melaka pula dikatakan dalam krisis," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS