Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K’jaan luluskan pengeluaran RM10,000 daripada KWSP
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 1:39 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 lagi daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, berdasarkan dapatan, kajian dan penelitian secara menyeluruh, dalam fasa pemuliham pandemik, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk pengeluaran caruman KWSP.

"Justeru, pada hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya pada sidang medianya yang disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen.

Menurutnya, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan,” katanya.

Perdana menteri bekata walaupun kerajaan memberikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun dia merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan, katanya.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang berjumlah RM101 bilion. Ia melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Justeru, dengan pengeluaran khas kali ini, ia adalah yang keempat sejak 2020.

Bagaimanapun, banyak pihak tampil menggesa agar kerajaan meneruskan inisiatif tersebut dengan memberi kebenaran pencarum KWSP membuat lagi pengeluaran.

Malah, semasa kempen pilihan raya DUN Johor yang berakhir Sabtu lalu, kedua-dua BN dan Pakatan Harapan menggesa Putrajaya membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata butir-butir mengenai pengeluaran tersebut akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat.

"KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan," katanya ringkas dalam kenyataan susulan pengumuman perdana menteri itu.

Dalam kenyataan berasingan, KWSP berkata ketika negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, ia berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

"KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS