Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Lebih 8,000 mangsa banjir di S'gor masih belum terima bantuan

Sebanyak 8,395 penerima masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diperuntukkan kerajaan negeri untuk mangsa bah besar yang melanda negeri itu pada akhir tahun lepas, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Dia berkata Klang merupakan daerah penerima tertinggi yang belum menerima bantuan iaitu seramai 7,236 orang; diikuti Kuala Langat (530), Petaling (348), Sepang (223), Kuala Selangor (56) dan Gombak (dua) manakala tiga daerah iaitu Hulu Langat, Sabak Bernam dan Hulu Selangor telah selesai sepenuhnya.

"Sehingga 14 Mac, kerajaan negeri telah meluluskan dan melaksanakan pembayaran BSB kepada 118,110 keluarga melibatkan peruntukan RM118.11 juta. Daripada 25 kematian, yang layak menerima bantuan BSB bagi keluarga arwah dan mendiang adalah seramai 14 orang," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Menurutnya sebanyak RM132.628 juta bantuan BSB telah disalurkan kepada semua pejabat tanah dan daerah dengan baki peruntukan setakat ini adalah RM14.378 juta.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) yang bertanya adakah BSB telah selesai dibayar kepada semua mangsa banjir.

Pada masa yang sama katanya, sebanyak 2,942 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi kriteria dengan terdapat sebahagian permohonan tersebut didapati bertindih manakala 300 permohonan masih lagi dalam proses semakan.

Amirudin berkata semua pembayaran dijangka selesai pada 31 Mac manakala bagi pembayaran tertunggak termasuk permohonan rayuan akan diproses sehingga 30 April nanti.

"Sekarang kami tidak lagi menganjurkan pemberian di dewan-dewan, jadi baki penerima seterusnya akan dihubungi terus dan kami menawarkan penghantaran wang melalui akaun dan pemindahan dana elektronik (EFT)," katanya.

Mengenai soalan Azmizam berkenaan apakah tindakan yang akan diambil terhadap individu yang membuat tuntutan palsu BSB, Amirudin berkata tindakan akan diambil selepas semua pembayaran BSB selesai 31 Mac ini.

Beliau turut menjelaskan punca kelewatan pembayaran bantuan adalah kerana pihaknya menerima jumlah permohonan yang tinggi iaitu lebih 10 kali ganda daripada bilangan Ketua Isi Rumah yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Selain itu ada permohonan bertindih dan perlu dilakukan verifikasi dan kami kena mengatur dan menyelaras kewangan kerana kerajaan negeri akan menyalur BSB bersama dengan bantuan wang ihsan daripada kerajaan Persekutuan," katanya.  

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS